
UJI PANDU EKSKLUSIF MG CYBERSTER: EV ROADSTER PERTAMA DUNIA KINI DI OLD KLANG ROAD, 19 – 20 JULAI
Reiwa Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi MG Motor di Old Klang Road, menjemput orang ramai untuk merasai sendiri kehebatan MG Cyberster dalam sesi pandu uji khas yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Julai ini, dari jam 10 pagi hingga 5 petang, bertempat di bilik pameran mereka di Lorong Jugra, Off Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.
MG Cyberster mencuri tumpuan sebagai roadster elektrik sepenuhnya pertama di dunia, dan kini ditawarkan dalam dua varian; pacuan roda belakang (RWD) berharga RM299,900, serta versi pacuan semua roda (AWD) pada RM319,900.
Model RWD menjana 340PS dan 475Nm tork, dengan pecutan 0–100 km/j dalam 5 saat, manakala AWD lebih bertenaga dengan 503PS dan 725Nm, membolehkan pecutan hanya 3.2 saat ke 100 km/j.

Kedua-duanya menggunakan bateri 77kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 508km, serta menyokong pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dalam hanya 38 minit.
Dari segi penampilan, RWD dilengkapi rim 19-inci bersama brek Brembo, manakala AWD tampil lebih agresif dengan rim 20-inci, pintu jenis gunting, sistem audio Bose, dan ciri keselamatan MG Pilot.
MG Motor Old Klang Road merupakan salah satu daripada 25 pusat pengedar sah MG di seluruh negara yang dipilih menganjurkan acara ini, berkat lokasi strategiknya serta “Cyberster Garage” — kemudahan servis khas lengkap dengan peralatan diagnostik moden, alat ganti tulen, dan pasukan teknikal bertauliah.

Pelanggan yang membuat tempahan sepanjang hujung minggu ini akan menerima pakej pengecasan tanpa had selama setahun melalui JomCharge (termasuk fungsi AutoCharge), pengecas AC Wallbox 7kW, model diecast edisi terhad MG Cyberster, dan pelbagai cenderahati eksklusif.
Selain Cyberster, pengunjung turut berpeluang memandu uji model MG lain seperti MGS5 EV, MG5, MG4 atau MG HS, sambil menikmati hidangan ringan dan menyertai bengkel MG Cyberster yang disediakan.







