Artikel Pilihan

PERCIKAN API DARI JENTERA F1? PAKAI MERCUN BOLA KE?

Selain daripada aksi potong memotong, berebut kedudukan ketika memulakan perlumbaan dan kemalangan dalam perlumbaan F1, salah satu benda yang penulis suka tonton satu ketika dulu ialah percikan api yang keluar dari bahagian belakang jentera F1 ketika berlumba. Pada mulanya penulis agak percikan api tersebut datang daripada palam pencucuh dan keluar melalui ekzos.

Percikan api ini sebenarnya bermula pada penghujung tahun 1980an di mana jentera F1 ketika itu cuba berlumba dengan serapat dan serendah mungkin dengan permukaan litar bagi mendapatkan kesan aerodinamik yang paling maksima. Hasilnya cesi jentera F1 akan bergeser dengan permukaan litar dan menghasilkan percikan api. Kesan percikan api ni akan menjadi amat ketara pada permulaan perlumbaan dimana tangki petrol berada tahap maksima.

Berat petrol akan menyebabkan jentera ini sangat rapat pada permukaan litar sehinggakan cesi jentera F1 bergeser dengan permukaan litar sehingga percikan api ini terhasil. Kesan percikan api pada jentera F1 ini menjadikan perlumbaan F1 bertambah dramatik seperti persaingan antara Senna dan Mansell pada tahun 1991 di litar Spa.

Jadi tidak hairanlah ketika memulakan perlumbaan, percikan api ini dapat dilihat pada semua jentera yang berlumba. Percikan api ini akan menyebabkan penutup cermin pada topi keledar seolah-olah terbakar. Disebabkan tragedi perlumbaan F1 pada tahun 1994 sehingga menyebabkan kematian Senna, FIA telah menggubal beberapa undang-undang untuk menjadikan perlumbaan lebih selamat.

FIA menggariskan peraturan baru yang memerlukan semua pasukan memasang skid plate setebal 10mm pada bahagian tepi jentera bagi menghalang mereka menjadi terlalu rendah ketika berlumba. Sekiranya skid plate ini mencapai kehausan 10mm pada akhir perlumbaan, maka secara automatik kemenangan mereka menjadi tidak sah.

Pada awalnya skid plate ini dibuat daripada Kevlar dalam bentuk blok dan disusun pada tempat yang strategik. Namun pada tahun 2015 penggunaan blok ini diharamkan kerana dalam sesetengah situasi blok ini akan pecah ketika perlumbaan dan serpihan tersebut menyebabkan tayar jentera F1 lain akan pancit.

Dalam kajian yang dijalankan oleh FIA, sesetengah pasukan juga menyusun agar blok tersebut disusun agar apabila jentera F1 terhentak, ia tidak mengenai blok kevlar tersebut. Justeru FIA mengambil keputusan mulai tahun 2015 blok kevlar digantikan dengan kepingan besi titanium. Kepingan titanium ini lebih mudah terhakis menyebabkan pasukan pelumba perlu lebih berhati-hati.

Pada masa yang sama kepingan ini akan menghasilkan lebih banyak pecikan api apabila bergeser dengan permukaan jalan. Ia lebih ringan, lebih selamat dan juga menghasilkan lebih banyak percikan api. Lebih banyak percikan api keluar, lebih banyak titanium terhakis dan ada kemungkinan besar yang mereka tersingkir disebabkan isu teknikal ini.

Google ads
Back to top button