Buletin

F1 GP AUSTRALIA BATAL, PIRELLI BAKAR 1,800 UNIT TAYAR. JADI BAHAN BAKAR ALTERNATIF KILANG SIMEN

Sebanyak 1,800 unit tayar jentera F1 Pirelli terpaksa dibakar berikutan pembatalan F1 Grand Prix Australia 2020 baru-baru ini.

Tayar itu perlu dibakar walaupun tidak pernah digunakan di atas litar. Langkah pembakaran itu bagaimanapun tiada kena mengena dengan penularan wabak COVID-19, walaupun ada beberapa orang kakitangan pasukan F1 disahkan dijangkiti virus maut tersebut.

Tayar berkenaan akan dibakar dengan menjadi bahan bakar alternatif sebuah kilang simen di Oxfordshire, England. Biarpun tidak pernah digunakan, tayar yang sudah dipasang pada rim perlu dibakar.

Ini kerana wujud kemungkinan tayar itu rosak apabila dikeluarkan daripada rim. Ditambah pula jarak geografi Australia yang jauh dari Eropah. Jadi, tayar itu mesti dikeluarkan daripada rim sebelum dihantar ke lokasi perlumbaan seterusnya.

“Kami siap memasang tayar pada rim Khamis lalu. Sekarang kami terpaksa membukanya semula. Tayar yang belum dipasang tiada masalah, kerana ia dihantar menggunakan kapal dan disimpan dalam bekas dengan suhu terkawal.

“Jika terdapat perubahan dalam jadual perlumbaan, kami masih boleh menggunakannya,” kata Ketua Sukan Bermotor Pirelli, Mario Isola.

Tayar-tayar itu bukannya semua dari perlumbaan di Australia, tetapi tayar yang bakal digunakan di litar Bahrain dan Vietnam yang turut dibatalkan perlumbaannya.

Langkah memusnahkan tayar bukanlah sesuatu yang baru buat Pirelli. Pengeluar tayar itu biasanya perlu memusnahkan lebih 580 unit tayar basah jika ia tidak digunakan.

Namun, pembatalan F1 GP Australia membuatkan angka tayar naik mendadak.

Google ads
Back to top button