
TESLA MODEL Y DAN MODEL 3 BERADA DALAM SENARAI TOP 10 KENDERAAN TERLARIS DI DUNIA – TOYOTA, FORD ALAMI PENURUNAN
Dua model Tesla berjaya menembusi senarai 10 kereta terlaris didunia, hasil data oleh Focus To Move.
Untuk Tesla, jelas jenama itu semakin meningkat meskipun dalam kebanyakan pasaran, Tesla dilihat berada pada kedudukan statik. Data tersebut membuktikan EV kini sedang menguasai industri automotif lebih cepat berbanding dari apa yang difikirkan sebelum ini.
Di pasaran Norway misalnya, lebih 80 peratus hasil jualan kereta baharu adalah berkuasa elektrik. Sementara jualan kenderaan berkuasa bahan api fosil nampaknya semakin perlahan.

Satu lagi contoh positif ialah semua model kereta paling pesat berkembang adalah jenis elektrik, malah EV kini berada dalam 10 kenderaan terlaris di dunia.
Toyota Corolla mencatat jualan 1.12 juta unit (turun 2 peratus berbanding tahun lepas), Toyota RAV4 dengan 870,000 unit (turun 14 peratus berbanding tahun 2022), Ford F-Series hanya mencatat 787,000 unit (turun 9 peratus), 675,000 unit Toyota Camry terjual (turun 3 peratus), sementara 601,000 unit Honda CR-V diserahkan kepada pelanggan (turun 18 peratus).
Menerusi data tersebut, jelas boleh dilihat penurunan angka jualan tetapi tidak untuk Tesla yang berjaya mencatat 759,000 untuk Tesla Model Y (naik 88 peratus berbanding tahun lepas). Manakala jualan Tesla Model 3 meningkat 4 peratus dengan 596,000 unit.
Jika sebelum ini ramai pemerhati industri menganggap kenderaan elektrik Tesla sebagai suatu jenaka, tetapi kini mereka harus memikirkannya semula. Ini kerana bukan hanya sebuah model berada dalam senarai 10 kenderaan terlaris di dunia, tetapi dua model.
Ini membuktikan bahawa jika anda boleh menghasilkan kenderaan elektrik yang menarik dengan jumlah pengeluaran begitu banyak, ia bukan sahaja dapat mencipta pasaran, malah mampu mengambil alih industri.
Menurut laporan Electrek, mereka menjangkakan Toyota bakal ketinggalan jauh dan jenama itu mungkin akan tersingkir sepenuhnya berada dalam senarai 10 kenderaan terlaris menjelang 2025.







