Buletin

BYD DAN TESLA BAKAL MELABUR DI INDONESIA – MANFAATKAN SUMBER NIKEL

Indonesia mahu memanfaatkan sumber nikel di negara itu sebagai tarikan kepada pengeluar kenderaan elektrik.

Baru-baru ini, Menteri Penyelaras, Luhut Pandjaitan memberitahu Indonesia akan memuktamadkan perjanjian dengan pembuat kereta China, BYD Group dan Tesla untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran kenderaan elektrik.

Kaya dengan sumber nikel, negara Asia Tenggara itu secara agresifnya mempromosikan pelaburan ke dalam bateri serta EV. Suatu ketika dahulu, Indonesia pernah menjadi pengeksport nikel namun ia dihentikan bagi memastikan bahan mencukupi untuk pelabur di negara itu.

“Semua pembuat kereta (elektrik) terbesar di dunia akan melabur di sini. BYD Group, nombor satu dunia, Tesla, nombor dua, Hyundai dan sebagainya, mereka semua sedang memuktamadkan perjanjian dengan Indonesia,” kata Luhut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut dalam mesyuarat itu. BYD Group dan Tesla juga masih belum memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai telah melancarkan kilangnya di Indonesia pada Mac tahun lepas untuk menghasilkan EV pemasangan tempatan yang pertama di negara itu.

Selain Hyundai, SGMW Motor Indonesia, sebahagian daripada usaha sama SAIC Motor Corp Ltd, General Motors Co dan Wuling Motors Holdings telah membina kemudahan pemasangan di Indonesia.

Google ads
Back to top button