
KAWAL RANTAIAN BEKALAN, JENAMA EV DARI CHINA DIJANGKA KUASAI PASARAN AS
Pasaran kenderaan elektrik China semakin berkembang pada hari ini, bahkan ia mampu menguasai pasaran kenderaan berkenaan di Amerika. Menurut GlobalData, China akan terus mendominasi jualan EV global pada tahun ini.
Kira-kira 27 peratus daripada jualan kenderaan baharu di China tahun lepas ialah berkuasakan elektrik (sama ada EV tulen atau hibrid) tetapi perkiraan tersebut diambil merangkumi bilangan pembeli di China.
Walaupun sekatan COVID serta beberapa halangan lain yang memberi kesan kepada sentimen pengguna dan ekonomi, namun negara itu tidak mempunyai masalah berkenaan rantaian bekalan, sekaligus ia menyokong pertumbuhan pasaran EV China.

Bahagian pasaran Geely, Xpeng, Li Auto, NIO dan beberapa jenama di China telah meningkat 17 peratus pada 2022, manakala pengeluar kereta bukan China turun sebanyak 11 peratus. Firma BYD sahaja menjual hampir 1.8 juta kenderaan elektrik termasuk hibrid plug-in di China pada tahun lepas, mengatasi 1.3 juta kenderaan Tesla di seluruh dunia.
Menurut pemerhati industri, kebanyakannya berpendapat bahawa tidak menghairankan jika jenama kenderaan elektrik dari China akan mulai menguasai jalan raya di Amerika Syarikat terutamanya mengambil kira kos kereta yang agak rendah.
“Apa yang berlaku di China tidak akan kekal di China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Automobility, Bill Russo.
“Jika anda mempunyai rantaian bekalan seperti itu, kedudukan seperti itu di papan catur, maka mengapa anda tidak melakukannya di peringkat antarabangsa?”
Halangan pertama perlu dihadapi oleh jenama EV di China ialah Akta Pengurangan Inflasi, bermakna kenderaan yang dikeluarkan di China tidak akan layak untuk melakukan pemasangan akhir di Amerika Syarikat.
Selain itu, sentimen politik dan terpaksa bersaing dengan syarikat yang berakar umbi dalam pasaran matang juga bakal menjadi penghalang.
BYD, sebagai contoh, memberi tumpuan kepada pengembangan global, tetapi sentimen dan perkembangan terkini dengan Tesla membuatkan rancangan tersebut tergendala.
Biarpun jenama China masih belum mencapai tahap penguasaan sepenuhnya terhadap kenderaan elektrik di AS, tetapi China masih boleh memainkan peranan utama untuk mengawal ke atas kebanyakan rantaian bekalan bateri EV global. Ini termasuklah bahan mentah, pemprosesan, pembuatan sel bateri dan banyak lagi.
China mengawal kira-kira 75 peratus daripada semua kapasiti pengeluaran sel bateri serta 90 peratus pengeluaran anod bateri dan elektrolit pada 2022. Pembuat kereta seperti GM serta Tesla terpaksa bergantung pada syarikat di China, seperti CATL untuk keperluan bateri mereka.
Walaupun AS meningkatkan lebih banyak pengekstrakan mineral di sini dan industri pembuatan baterinya kian berkembang, kebanyakan bahan itu masih dihantar ke China untuk diproses. Maka, China dijangka terus mampu mengawal sebahagian besar kapasiti pengeluaran sehingga 2027.
- BACA: EV ZEEKR 001 2023 DILANCARKAN DI CHINA, 1,032KM SEKALI CAJ, BERMULA RM191K
- BACA: VOLKSWAGEN BAKAL JUAL EV BUATAN CHINA DI EROPAH, GUNA JENAMA CUPRA
- BACA: JUALAN MENINGKAT, TETAPI PENGELUAR EV CHINA MASIH RUGI BESAR
- BACA: BYD KINI MENDAHULUI TESLA DALAM SEGMEN KENDERAAN TENAGA BAHARU (NEV) DI CHINA