Buletin

TESLA PERKENAL STESEN PENGECASAN V4 SUPERCHARGER DI THE GARDENS MALL

Tesla terus mengukuhkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dengan pelancaran stesen pengecasan V4 Supercharger terbaharu di The Gardens Mall.

Stesen ini menampilkan empat unit V4 Supercharger dan satu pengecas Destination Charger, direka khas untuk memberikan kemudahan kepada pemilik Tesla di kawasan sekitarnya, terutamanya penghuni kondominium bertingkat tinggi yang memerlukan pengecasan pantas ketika berkunjung ke pusat beli-belah.

V4 Supercharger Tesla hadir dengan kabel lebih panjang bagi memudahkan semua model Tesla mengecas tanpa sebarang kesulitan.

Dengan kadar puncak sehingga 250kW bagi setiap kenderaan, Model 3 dan Model Y mampu menambah jarak perjalanan sehingga 282km hanya dalam tempoh 15 minit.

Pengguna hanya perlu ‘plug and charge’ untuk memulakan pengecasan, sementara aplikasi Tesla membolehkan mereka melihat ketersediaan pengecas, menavigasi ke lokasi, serta memantau status pengecasan secara langsung.

Selain itu, bayaran untuk Supercharger diproses secara automatik melalui kaedah pembayaran yang telah ditetapkan dalam aplikasi Tesla, menjadikan proses pengecasan lebih mudah dan bebas kerumitan.

Dengan kadar bayaran ‘pay-per-use’ sebanyak RM1.13/kWh, pengecasan Supercharger Tesla menjadi antara pilihan paling menjimatkan dalam pasaran EV.

Sehingga kini, Tesla telah mengendalikan 14 stesen Supercharger dengan 64 pengecas serta 15 stesen Destination Charging yang dilengkapi 70 pengecas di seluruh negara.

Tambahnya, usaha pengembangan rangkaian ini akan diteruskan bagi memastikan liputan yang lebih luas untuk pengguna Tesla di Malaysia.

Google ads
Back to top button