THAILAND: SUBSIDI EV JADI FAKTOR LAMBAKAN KENDERAAN ELEKTRIK TAK TERJUAL, CETUS PERANG HARGA
Kerajaan Thailand telah mencetuskan kesan domino apabila ia mula memberikan subsidi kepada pembuat kenderaan elektrik (EV) dari China.
Menurut para pakar industri, kesan pemberian subsidi memperlihatkan lebihan bekalan EV, sekaligus memicu perang harga dalam segmen kenderaan enjin pembakaran, yang kini mengalami pengurangan pengeluaran dan penutupan kilang.
Kesan tidak dijangka ini juga merebak ke rantaian bekalan, di mana sekurang-kurangnya sedozen pengeluar alat ganti telah ditutup kerana pembuat EV China yang disubsidi tidak membeli daripada kebanyakan mereka.
Menurut Jabatan Eksais, 185,029 EV telah diimport sejak kerajaan Thailand memperkenalkan skim subsidi EV pada 2022. Namun, data dari Jabatan Pengangkutan Darat mendedahkan bahawa pendaftaran EV baharu hanya berjumlah 86,043 unit, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 90,000 EV adalah lebihan bekalan.
“Kami sedang mengalami lebihan bekalan EV kerana banyak EV yang diimport dari China dalam dua tahun terakhir masih kekal dalam inventori penjual,” kata Presiden Persatuan EV Thailand (EVAT), Krisda Utamote.
Program subsidi EV bermula pada 2022 di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China. Bertujuan untuk menjadikan kereta lebih mampu milik, kerajaan menawarkan pengeluar China geran hingga AS$4,130 (RM19,158) setiap kenderaan.
Perjanjian ini juga menghapuskan tarif ke atas EV China yang diimport untuk dijual di Thailand dengan syarat syarikat China menghasilkan jumlah EV yang sama di Thailand.
Tambahnya lagi, pengeluaran perlu dimulakan tahun ini, dan kenderaan yang disubsidi boleh dijual secara domestik atau dieksport.
BYD, pembuat EV terbesar China, telah menjadi yang paling agresif di kalangan enam pembuat kenderaan yang melabur di bawah skim ini.
Ia memotong harga model Atto baharunya sebanyak AS$9,375 (RM43,488), diskaun 37 peratus dari harga pelancaran AS$24,980 (RM115,878).
Sementara, Neta, satu lagi pembuat EV China, memotong harga model V-II sebanyak AS$1,389 (RM6,445), atau 9 peratus, dari AS$15,254 (RM70,762) pada pelancaran.
BYD dan pesaingnya dari China akan mempunyai kapasiti tahunan untuk menghasilkan kira-kira 750,000 kenderaan apabila kilang mereka di Thailand beroperasi sepenuhnya.
Bagaimanapun, tiada satu pun daripada mereka mengulas sama ada mereka akan meneruskan pemotongan harga yang agresif.
Kesan subsidi ini telah melanda seluruh sektor automotif, yang menggaji lebih daripada 750,000 pekerja dan menyumbang kira-kira 11 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Ini menjadikan automotif penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi negara da nmerupakan sebahagian daripada sektor industri keseluruhan yang menyumbang 25.2 peratus daripada KDNK. Sektor pelancongan yang terkenal adalah penyumbang No. 2 (18 peratus), diikuti oleh runcit (16 peratus) manakala pertanian berada di tempat kelima dengan 8.6 peratus.
HONDA, SUBARU TUKAR LANGKAH
Penjualan kenderaan berkuasa bahan bakar fosil mula menurun setelah subsidi EV mula menurunkan harga dan pembuat kenderaan Jepun adalah yang paling terjejas kerana mereka menghasilkan kira-kira 90 peratus kenderaan ini di negara tersebut.
Kelemahan dalam ekonomi Thailand juga memainkan peranan kerana ia menyebabkan pengguna mengurangkan pembelian yang mahal.
Persekutuan Industri Thailand berkata 260,365 kenderaan telah dijual dalam lima bulan pertama tahun ini, turun 23 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023 dan jumlah terendah dalam satu dekad.
Hasil jualan itu dicatatkan berikutan pembuat kenderaan yang menggunakan bahan bakar fosil telah mengurangkan kapasiti untuk bertahan.
Honda Motor, pembuat kenderaan kedua terbesar Jepun, awal bulan ini berkata ia akan menghentikan pengeluaran kenderaan di kilangnya di wilayah Ayutthaya menjelang 2025 dan menggabungkan operasi di kilangnya di wilayah Prachinburi.
Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan pengeluaran tahunan di Thailand kepada 120,000 unit setahun, turun dari 270,000.
Pengeluar Jepun lain turut menghentikan semua pengeluaran, contoh terdekat adalah Subaru, baru-baru ini mengumumkan ia akan menghentikan operasi pemasangan kereta di Thailand menjelang akhir tahun ini.
Tidak berhenti di situ, Suzuki berkata ia juga bakal mengikuti langkah ini pada 2025.
PENGELUAR ALAT GANTI KERETA JUGA MENDERITA
“Pesanan alat ganti telah menurun sebanyak 40 peratus setakat tahun ini,” kata Presiden Persatuan Pengeluar Alat Ganti Auto Thailand, Sompol Tanadumrongsak.
Sompol menambah bahawa setiap pemasang kereta telah “mengurangkan kapasiti sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus setakat tahun ini.”
Sompol berkata dia menjangka industri ini akan terus mengecut ketika fasa peralihan kepada EV.
“Hanya kira-kira sedozen daripada 660 pengeluar alat ganti Thailand boleh membekalkan pembuat EV China, yang sama ada bergantung kepada import dari China atau pada rantaian bekalan kos rendah mereka sendiri,” jelas Sompol.