Motosikal

ROYAL ENFIELD BANGUNKAN ENJIN 850CC?

Bagi yang mengikuti perkembangan Royal Enfield, pastinya ramai menyedari bahawa jenama motosikal berasal dari United Kingdom itu menawarkan pelbagai jenis model dari 350cc hingga 650cc. 

Antara model yang membarisi platform 650cc termasuk Super Meteor 650, Shotgun 650, Continental GT 650 dan Interceptor 650. 

Namun, jenama yang mempunyai pangkalan di India, UK dan Sepanyol itu sedang meninjau kebarangkalian untuk menerokai pasaran motosikal ‘adventure’ berkuasa tinggi. 

Ini kerana Royal Enfield bersama Death Spray Custom telah menghasilkan sebuah jentera ADV ‘one-off’ sempena Goodwood Festival di UK. 

Mengguna pakai platform parallel-twin 650cc lalu membesarkan bore bagi mencapai 850cc, prototaip tersebut diilhamkan dari jentera adventure yang beraksi di perlumbaan Dakar pada era 80an dan 90an. 

Sementara itu, Death Spray Custom mengenakan warna dan grafik yang terpapar pada Yamaha Tenere dan Honda Africa Twin sekitar tahun 1988 hingga 1991. 

Hasilnya, sebuah motosikal adventure yang menggabungkan elemen retro dan moden seperti yang ditawarkan Ducati DesertX. 

Antara kelengkapan ditawarkan termasuk casis dari Harris Performance, suspens Öhlins, swingarm kustom dan sistem ekzos juga dari Harris Performance. 

Walaupun merupakan jentera ‘one-off’ namun motosikal tersebut mungkin bayangan dari Royal Enfield bahawa mereka mampu menghasilkan jentera berkuasa tinggi bagi masa akan datang.

Apa pun, kami teruja sekiranya projek ‘one-off’ ini menjadi kenyataan dan kemudian memberi saingan kepada segmen motosikal ‘dual-purpose’ yang ketika ini dibarisi Suzuki V-Strom 800DE, Yamaha Tenere 700, Aprilia Tuareg 660, Triumph Tiger 900 dan Ducati DesertX. 

Google ads
Back to top button