
TIADA LAGI CAJ TERSEMBUNYI BELI TIKET PESAWAT
Ini perkara yang telah lama dibangkitkan oleh ramai pengguna. Caj tersembunyi yang dikenakan oleh syarikat penerbangan. Khususnya syarikat tambang murah yang menjanjikan semua orang boleh terbang pada harga murah.
Namun ramai yang tidak menyemak harga keseluruhannya. Pengguna juga tak boleh disalahkan 100 peratus kerana ada syarikat yang “menyembunyikan” harga pemprosesan bayaran hingga ke langkah terakhir setelah nombor kad kredit atau kad debit dimasukkan.
Ia memang tindakan licik yang telah lama berlaku. Kementerian Pengangkutan tahun lalu telah berjanji untuk menyelesaikan perkara tersebut menerusi pihak berkuasa yang terbabit. Selepas setahun, nampaknya mereka memang buat kerja dan mengotakan janjinya.
Tidak lama lagi mereka yang ingin membeli tiket penerbangan tidak lagi dikenakan dengan caj tersembunyi kerana Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah meminda Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Menerusi akta MACPC yang dikemas kinikini, syarikat penerbangan perlu memaparkan harga muktamad tiket dalam bahan pengiklanan dan promosi dan di pusat jualan.
Syarikat penerbangan mesti memaparkan harga selepas menambah caj lain, seperti cukai dan yuran yang dikenakan kerajaan, yuran yang ditetapkan oleh undang-undang dan surcaj bahan api.
Ini menghapuskan caj tersembunyi seperti yuran pentadbiran dan caj pembayaran kad dan peraturan ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun.
Peraturan baru ini juga membolehkan kos tiket penerbangan dibayar semula bagi penumpang yang tidak dapat membuat penerbangan dalam tempoh 30 hari dari permintaan dibuat. Ia juga sah untuk tiket yang dibeli melalui agen tiket.
Bayaran balik mestilah termasuk caj perkhidmatan penumpang, termasuk cukai, caj dan yuran lain.
Sekiranya tiket tersebut dari kelas “tidak boleh dikembalikan” (non-refundable), penumpang dibenarkan mendapatkan bayaran balik cukai lapangan terbang dan syarikat penerbangan dibenarkan untuk mengenakan bayaran pemprosesan maksimum sebanyak 5%.
Pengendali lapangan terbang juga dikehendaki memaparkan Akta MACPC dengan jelas untuk rujukan, dan syarikat penerbangan dikehendaki memaklumkan penumpang hak mereka dalam setiap medium yang mereka ada.
Pindaan penuh pada kod boleh didapati di halaman undang-undang di www.mavcom.my.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar berkata pindaan itu akan meningkatkan dan melindungi hak perjalanan pengguna.
“Sejak pelaksanaannya, Mavcom mendapat banyak maklum balas daripada pengguna dan pindaan itu adalah hasil maklum balas semua,” katanya.
Untuk membantu pengguna memahami hak mereka, Mavcom juga melancarkan platform FlySmart untuk membantu mereka memahami hak mereka dengan lebih baik.
Platform ini membolehkan pengembara memfailkan aduan mereka dan memeriksa status aduan mereka melalui aplikasi mudah alih atau di laman webnya www.flysmart.my.
KREDIT: THE STAR