
PITA PELEKAT DI KERUSI PENUMPANG AIR ASIA X – ISU ALAT GANTI JADI PUNCA
Beberapa hari lalu, seorang pengguna Facebook, Edward Yong, telah memuat naik gambar menunjukkan keadaan kerusi penumpang di dalam sebuah pesawat AirAsia X.
Melihat pada gambar tersebut, terdapat pita pelekat berwarna kuning yang ditampal di bahagian untuk meletakkan tangan.
“Saya rasa malu. Warga asing pasti fikir mereka akan pergi ke negara yang sangat mundur. Pesawat dilekatkan dengan pita. Penerbangan antarabangsa!” tulisnya dalam hantaran itu.

Edward Yong merupakan salah seorang penumpang yang berada di dalam pesawat AirAsia X D7 379 dari Taipei ke Kuala Lumpur.
Perkara itu segera mendapat respon ketua kejuruteraan Air Asia X, Alvin Tan.
Menurutnya, kekurangan alat ganti menyebabkan AirAsia X menampal pita pelekat pada sandaran tangan di beberapa tempat duduk dalam pesawat.
Dalam pada masa yang sama, Alvin Tan juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perkara itu bukan isu keselamatan.
“Disebabkan kekurangan alat ganti yang menjejaskan pengendali di seluruh dunia dan mengambil kira bahawa ini bukan isu keselamatan.
“Pita pelekat adalah biasa digunakan untuk pembaikan kabin kosmetik sebagai langkah sementara,”
“Tempahan alat ganti yang dibuat pada Ogos 2022 telah tiba minggu lepas dan kerja pembaikan sedang dijalankan untuk membaiki semua tempat letak tangan,” katanya.
Difahamkan, ketika ini masalah kekurangan alat ganti aksesori pesawat turut dihadapi oleh syarikat penerbangan lain.
Beberapa hantaran di media sosial turut memaparkan masalah sama berlaku pada syarikat penerbangan lain, sehingga terpaksa menggunakan pita pelekat buat sementara. – Malay Mail








