
SEGALANYA TENTANG MAZDA MX-5 MIATA – SI ROADSTER LEJEN!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang sebuah Roadster paling berjaya di planet bumi iaitu Mazda MX-5/Miata.
Mazda merupakan syarikat Automotif yang dikenali dan mempunyai nama. Walaupun namanya tidaklah sebesar pesaing-pesaingnya, namun Mazda tetap dihormati atas ideologi mereka yang radikal. Dari barisan model Roadster NA sehinggalah ND, enjin Wankel/Rotary sehinggalah ke teknologi Skyactiv X, Mazda sentiasa melawan arus, dan mereka berjaya. Itu yang penting.
Berbalik kepada cerita MX-5 ini, model pertama jentera ini lahir pada tahun 1989 dan diinspirasikan daripada model-model Roadster keluaran Eropah seperti MG B dan Triumph Spitfire. Dari tahun 1989 hinggalah sekarang, model MX-5 ini sudah mempunyai 4 generasi iaitu :-
- NA – 1989-1997
- NB – 1998-2005
- NC – 2005-2015
- ND – 2016-Sekarang
Jika kita lihat pada sejarah, produksi setiap model MX-5 akan berjalan sehingga 7-10 tahun sebelum generasi baru dikeluarkan. Untuk model terbaru iaitu ND, ianya baru 3 tahun dalam pasaran jadi jangan berharap yang mereka akan keluar dengan generasi MX-5 baru.
Baiklah, kita hurai sedikit fakta tentang setiap generasi MX-5 ini. Cuma huraian saya hanya sampai model NC sahaja. Model ND masih baru lagi dalam pasaran jadi saya belum mahu sentuh tentangnya dahulu.

𝐍𝐀
Model ini lahir pada tahun 1989 di Hiroshima. Ia direka oleh Tsutomu Matano dan Shunji Tanaka. Ketika dilancarkan, varian “Hard Top” dan “Soft Top” dilancarkan bersama. Oleh itu, bakal pembeli boleh memilih varian mana yang mereka mahu.
Apa yang menarik tentang model ini, nama “Mazda MX-5” digunakan di seluruh dunia kecuali di Jepun. Hal ini kerana pihak Mazda sedang bereksperimen untuk memperkenalkan jenama “Marques”. Paham tak ? Senang cerita, Nissan ada Infiniti, Honda ada Acura, Toyota ada Lexus. Mazda nak juga. Jadi, untuk model MX-5 ini Mazda menjenamakan semula jentera ini menjadi Eunos Roadster.
Pembinaan model MX-5 NA ini menggunakan platform N dimana perkongsian komponen digunakan sepenuhnya untuk menjimatkan kos. Sebagai contoh, sebahagian komponen-komponen enjin berkongsi dengan model 323/Familia/Protege dan unit gandar belakang dari model 323 GTX(1.6cc) dan RX-7 FC(1.8cc).
Sistem suspensi jentera ini menggunakan sistem Double Wishbone bagi depan dan belakang. Sistem brek pula menggunakan sistem brek cakera bagi depan dan juga belakang. Layout jentera ini adalah tarik belakang dan enjinnya dalam kedudukan menegak. Oleh sebab susun aturnya begini, nisbah berat bagi depan dan belakang hampir 50:50. Sangat stabil Tuan-Tuan.
Jentera ini dilengkapi dengan enjin berkapasiti 1,598cc berkod B6ZE (RS). Enjin ini memang dirombak dan ditala khusus untuk model MX-5 ini. Ia menerima unit “Crankshaft” dan “Flywheel” yang lebih ringan. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 115hp dan Torque sebanyak 136Nm. Kuasa kemudiannya dihantar ke unit kotak gear.
Sistem Transmisi jentera ini terdiri daripada 5-kelajuan manual dan 4-kelajuan automatik. Akan tetapi, sambutan hambar lagi dingin diterima bagi model automatik. Model manual menjadi pilihan pada ketika itu. Bagi sistem transmisi manual, nisbah gear adalah seperti berikut :-
- Gear 1 – 3.136
- Gear 2 – 1.888
- Gear 3 – 1.33
- Gear 4 – 1
- Gear 5 – 0.814
- Final Drive – 4.3
- Gear Gostan – 3.758
Unit gandar belakang bagi jentera ini dilengkapi dengan sistem Limited Slip Differential (LSD). Bukan biashe biashe bossku !
Power ke enjin ni? Boleh tahan juga ! Kelajuan tertinggi dicatatkan oleh enjin 1.6 ini adalah 203km/h. Mana lah tak laju, berat jentera ini cuma 960kg sahaja. Sebagai perbandingan, berat Myvi lagi best adalah 980kg.
Pada tahun 1994, jentera ini menerima enjin baru berkapasiti 1,839cc berkod BP. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 129hp dan Torque sebanyak 149Nm. Kemudian, untuk keluaran tahun 1996 enjin jentera ini ditala semula dan hasilnya enjin ini berupaya menujahkan kuasa sebanyak 133hp dan Torque sebanyak 155Nm.
Dah baca sampai sini ? Nampak macam biasa-biasa je kan. Haha.
Apa yang betul-betul menarik adalah lampu hadapan ikonik jentera ini. Masa ni lampu “Pop-Up” ni memang “Trend”. Dengan rekabentuknya yang comel, sesiapa pun akan tersenyum bila nampak jentera ini lalu di depan mata. Belum lagi bawa, mahu sampai ke telinga senyum. Jadi, ini lah faktor yang membolehkan jentera ini mencatatkan rekod lebih 400,000 jualan dan seterusnya dinobatkan sebagai Roadster terbaik dunia dan kereta sukan terbaik dunia. Dengan model ini Mazda juga membuktikan untuk membuat kereta sukan tak semestinya kena nampak ganas dan laju.
𝐍𝐁
Setelah 8 tahun model NA bermaharajalela di pasaran, pihak Mazda akur yang mereka perlukan pembaharuan. Lantas, model NB dibangunkan dan dijadikan pertaruhan. Bukan senang ye kerja ni Tuan-Tuan. Untuk membina legasi mungkin senang, untuk meneruskan legasi tu belum tentu boleh.

Justeru, pereka yang sama dilantik untuk mereka model NB ini iaitu Tsutomu Matano. Pandai juga Mazda ni, manalah tahu rekaan kena kritik kan, boleh cakap yang model NA pun dia buat juga. Haha !
DNA MX-5 ini senang. Ringan, enjin didepan, pacuan roda belakang dan mestilah seronok dipandu. Jadi, DNA ini lah yang digunapakai sebagai asas pembuatan model NB ini. Ditambah pula dengan ciri-ciri penambahbaikan dari segi prestasi. Cuma yang menyedihkan, sistem lampu “Pop-Up” dikorbankan atas sebab peraturan keselamatan.
Model ini masih lagi mengekalkan sistem suspensi “Double Wishbone” bagi depan dan belakang. Antara penambahbaikan adalah pengenalan sistem brek ABS, Rim yang lebih besar dan “Anti-Roll Bar” yang lebih besar di depan dan belakang.
Enjin bagi varian 1.6cc masih sama seperti model NA. Bagi varian 1.8cc pula, enjin yang sama pada model NA digunakan dengan banyak penambahbaikan yang dilakukan. Antaranya menaikkan nisbah mampatan dari 9:0:1 ke 9:5:1. Sistem “Variable Intake Control System” diperkenalkan. Sistem ini berfungsi seperti Campro IAFM bagi Proton, T-VIS bagi Toyota dan MVIM bagi Mitsubishi. Penambahbaikan ini memberikan enjin ini penambahan kuasa kepada 140hp.
Pada tahun 2001, model Facelift diperkenalkan. Bagi model ini, banyak juga perubahan yang dilakukan. Jentera ini menerima chassis yang direka semula dan lebih kuat. Selain itu, ia juga menerima sistem transmisi manual 6-kelajuan. Model pre-facelift(1998-2000) hanya menerima sistem transmisi manual 5-kelajuan. Set Penyerap Hentak dari Bilstein, rotor brek yang lebih besar di depan dan belakang, dan juga kerusi balutan kulit. Baru lah nampak mewah. Oh ya, Rim juga ditukar kepada yang lebih besar iaitu rin bersaiz 16 inci.
Enjin juga menerima perubahan pada model Facelift ini. Antaranya adalah pengenalan sistem “Variable Valve Timing” pada “Intake Camshaft”. Kesannya, kuasa enjin ini meningkat kepada 152hp.
Pada tahun 2004, pihak Mazda melakukan kejutan dengan memperkenalkan Mazdaspeed MX-5. Kalau dah namanya Mazdaspeed, ia bermaksud laju. Macam mana nak bagi laju ? Enjin BP-4W yang mampu menghasilkan 140hp ini telah menerima unit pendesak turbo model IHI RHF5 VJ35. Dengan penambahan sistem pengecas turbo, kuasa enjin melonjak dari 140hp ke 178hp. Kuat ni beb.Untuk pengetahuan, model NB merupakan satu-satunya model yang mempunyai varian Mazdaspeed.
Ye ke ? Tak penah nampak pun ? Haha. Miata biasa pun susah nak nampak apatah lagi varian Mazdaspeed. Lagipun, model-model Miata ni banyak dieksport ke benua Amerika berbanding Asia. Saya pun tak pernah jumpa lagi varian Mazdaspeed di Malaysia ini.
𝐍𝐂
Mazda MX-5 NC merupakan generasi ke-3 dalam kelurga Miata. Ia diproduksikan selama 10 tahun bermula pada tahun 2005 hingga 2015. Lama juga tu. Dalam fasa 10 tahun pengeluaran, berlonggok-longgok pengiktirafan yang berjaya diterima oleh model ini. Sekali lagi, Miata menggegar dunia.
Bagi model NC ini, ia direka oleh Yasushi Nakamuta dan Moray Callum. Tidak seperti model NA dan NB yang banyak berkongsi alat ganti, model NC ini merupakan satu model bebas daripada perkongsian dengan model terdahulu. Kiranya, semuanya direka dengan rekaan yang baru. Paling ketara, sistem suspensi jentera ini. Model NA dan NB menggunakan sistem suspensi “Double Wishbone” bagi depan dan belakang. Model NC pula hanya menggunakan sistem “Double Wishbone” bagi depan sahaja. Belakang sistem suspensi ditukar kepada “Multilink”. Pengendalian ? Masih mantap Tuan-Tuan. Seiring dengan falsafah asas Miata. Pengendalian mesti A !
Model NC mula menerima enjin daripada L-Series. Terdapat 2 varian enjin bagi model ini iaitu :-
- MZR L8-VE (1,798cc, 123hp & torque 165Nm)
- MZR LF-VE (1,999cc, 167hp & torque 190Nm)
Angka-angka diatas mungkin nampak biasa-biasa, akan tetapi jika kuasa sebanyak ini diaplikasikan pada kenderaan yang hanya mempunyai berat sebanyak 1,110kg berdesup perginya Tuan-Tuan. Berat jentera ini hanya lebih 130kg sahaja daripada Raja Highway Malaysia Perodua Myvi Lagi Best. Cuma Miata datang dengan pakej pengendalian yang mantap dan sememangnya seperti memandu sebuah kereta, bukannya sampan. Haha ! Jangan marah.
Pada tahun 2006, Mazda mengeluarkan model Miata yang dilengkapi dengan Power Retractable Hard Top(PRHT). Sistem ini membolehkan unit “Hard Top” jentera ini dibuka dan ditutup secara automatik dan hanya mengambil masa selama 12 saat sahaja. Fuhh. Nampak kaya dan berjaya. Eh ?!.
Pada tahun 2008, pihak Mazda mengeluarkan model Miata versi “Facelift”. Tak banyak yang diubah. Cuma yang paling ketara adalah unit unit gril yang lebih besar serta rekaan lampu utama dan lampu kabus. Selain itu, unit bumper depan dan belakang serta “side skirt” diubah sedikit bagi menaikkan nilai estetika dan nampak “Sporty”. Dah tak comel macam dulu hmmm.
Untuk pengetahuan, model Mazda Miata ini masih memegang rekod dunia bagi produksi “2 seat sports car”. Masih belum yang ada dapat lawan lagi. Dan macam biasa, model versi manual mendominasi nilai jualan berbanding automatik yang agak sendu. Pengkritik automotif terkenal Jeremy Clarkson juga memberikan kredit terhadap jentera ini dimana ia berkata “You waste your money on a Mustang or a Ferrari. The fact is that if you want a sports car, the MX-5 is perfect. Nothing on the road will give you better value. Nothing will give you so much fun. The only reason I’m giving 5 stars is because I can’t give it 14”
Bagi model edisi khas, terlalu banyak yang dikeluarkan. Antaranya :-
- Troy Lee Design (2005)
- 3rd Generation Limited (2006)
- MS-R Package (2007)
- Roadster Kurenai Concept (2007)
- 2008 Special Edition (2008)
- Niseko (2008)
- Superlight Version (2009)
- 20th Anniversary (2009)
- Miyako (2010)
- Matte & Black Special Edition (2010)
- SEMA Concept (2010)
- Special Edition (2011)
- Sport Black (2011)
- Black Tuned (2011)
- SEMA Concept (2011)
- Tokyo Auto Salon Concept (2012)
- Special Edition (2012)
- Venture Edition (2012)
- Yusho (2012)
- Senshu Roadster Coupe (2012)
- GT Concept (2012)
- Kuro Edition (2012)
Nampak tak bertapa rajinnya pihak Jabatan “Sales & Marketing” buat kerja untuk melariskan jualan model ini. Sikap ini patut dicontohi oleh sesiapa sahaja yang berbisnes lagi-lagi pihak Zoo Negara. Eh ?!
Produksi NC ini berakhir pada tahun 2015 bagi memberi laluan kepada model seterusnya iaitu ND. Dapatkah ND meneruskan legasi seperti abang-abangnya ? Mungkin ya mungkin tidak. Perjuangan baru 3 tahun. Masih awal untuk diperkatakan. Sama-sama kita lihat.

Jadi, inilah dia Tuan-Tuan. Sebuah lagenda dari Mazda selain model RX-7. Tak perlu terlalu laju dan tak perlu rupa yang menakutkan untuk membuat sebuah “sports car”. Falsafah ini lah yang membuatkan Miata menjadi rebutan masyarakat. Sehingga sekarang, harganya masih tak berapa munasabah. Lagi-lagi model NA.
Kepada pemilik-pemilik Mazda Miata di Malaysia, anda seharusnya bangga untuk memiliki, menyimpan dan memandu sebuah lagenda. Kepada sesiapa yang masih mencari model-model Miata ini, selamat maju jaya saya ucapkan. Haha.