Buletin

TLDM TERIMA 6 FAST INTERCEPTOR CRAFT BERNILAI RM80 JUTA

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima enam kapal pemintas atau Fast Interceptor Craft (FIC) bernilai RM80 juta yang akan ditempatkan di pangkalan utama TLDM di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kapal pemintas baharu itu akan digunakan untuk penugasan operasi bagi memperkukuh tahap kawalan di perairan negara terutama Op Benteng.

“Kita menerima enam FIC (untuk penugasan) Op Benteng dan kita akan menggunakannya dengan segera.

“Penempatan aset ini akan ditentukan kemudian di (pangkalan TLDM) seluruh negara termasuk Sabah,” katanya selepas demonstrasi dan majlis simbolik penyerahan FIC di Jeti Peluru Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Kapal tempur yang dibina sepenuhnya Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di limbungan GMI di Lumut Port Industrial Park, Perak dalam tempoh lima bulan itu diserahkan kepada TLDM pada 19 Mac lalu.

Bot tempur FIC yang dilengkapi dua jentera utama dengan sistem dorongan water jet mampu untuk mencapai kelajuan maksimum melebihi 50 knot dan dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Quick Reaction Force (QRF) pada satu-satu masa.

FIC yang akan diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB) berupaya mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan menambah lagi 13 kapal jenis sama untuk mengukuhkan lagi kawalan perairan negara.

“Penerimaan enam kapal berkenaan adalah peringkat pertama dan kita bercadang untuk menambah lagi 13 kapal sama bernilai lebih RM120 juta,” katanya. –HM/Bernama

Google ads
Back to top button