Buletin

TMS 2019: JAZZ GENERASI KEEMPAT DILANCARKAN

Honda mengorak langkah pantas dengan melancarkan Jazz/Fit generasi ke empat pada hari pertama Tokyo Motor Show edisi ke 46. Model ini dijangka mula dijual pada Februari 2020. Model ini menjadi kegilaan eksekutif muda masih menampilkan rekaan yang segar, funky dan beberapa ciri keselamatan baru bagi menjadikan Jazz lebih berdaya saing di pasaran.

Model ini akan menjadi sebahagian daripada model e:HEV akan menggunakan trenkuasa hibrid yang menggabungkan 2 motor elektrik yang menekankan prestasi dan juga keletarian alam sekitar. Jazz serba baru ini dibina berdasarkan 4 elemen utama rekaan Honda iaitu:

1. Sudut pandangan hadapan yang lebih cemerlang berbanding dengan model terdahulu dengan rekaan tiang A yang baru. Rekaan ini membenarkan impak perlanggaran dialihkan dari penumpang sekiranya Jazz terlibat dalam kemalangan secara berdepan. Malah Honda menyembunyikan pengelap cermin agar ia tidak kelihatan dari dalam kabin

2. Selain terkenal dengan kusyen yang sangat versatil dan boleh diatur sesuka hati oleh pengguna, Honda memperkenalkan ciri baru iaitu kusyen dengan ciri penstabil. Sokongan kestabilan pada bahagian kusyen ini memastikan perjalanan jarak jauh akan menjadi lebih selesa dan tidak meletihkan penumpang. Honda jugak bertindak memasang pad kusyen yang lebih tebal agar keselesaannya menyamai sebuah sedan mewah.

3. Honda Jazz serba baru ini juga turut menekankan keselesaan pemanduan melalui penggunaan motor elektrik berkembar di dalam sistem hibridnya. Sistem ini mampu membekalkan pecutan yang cukup bagi sebuah kompak.

4. Walaupun nampak kecil namun Jazz baru ini memiliki keluasan kabin yang boleh dipuji dan jurutera Honda memang pakar dalam susun atur platform kecil sebegini. Ditambah pula dengan keupayaan kusyen Jazz yang boleh diatur secara versatil, pelbagai barangan dan kaedah susun atur kusyen boleh dibuat oleh pengguna bagi memenuhi kehendak peribadi.

Jazz generasi keempat ini diperkenalkan dengan 5 varian utama bagi memenuhi keperluan pasaran yang terdiri daripada:

BASIC – model asas Jazz/Fit namun masih mengekalkan kualiti binaan dan keselesaan penumpang

HOME – varian Jazz yang menampilkan rekaan dalaman yang teliti seperti pemilihan kualiti, warna dan bahan yang digunakan untuk kemasan dalaman. Gabungan fabrik dan kulit berkualiti tinggi digunakan menjadikan kabin amat selesa

NESS – varian ini sesuai untuk pasaran anak muda yang menekankan rekaan funky dan berani. Kusyen yang ditawarkan menggunakan bahan yang lembut untuk keselesaan serta kalis air agar tidak basah.

CROSSTAR – Jazz dengan identiti sebuah crossover agar ia mirip sebuah mini SUV dengan pemasangan rim aloi 16 inci. Sama seperti varian NESS, ia menggunakan kusyen lembut dengan balutan fabrik kalis air serta papan pemuka yang dibalut dengan pad lembut

LUXE – versi ini pula didtangkan dengan kulit premium dan juga rim aloi 16 inci dan kemasan platinum dipasang di beberapa bahagian agar ia nampak lebih elegen.

Walaupun masih belum melancarkan kereta terbang, namun Honda sudah masak dengan kehendak pasaran menaiktaraf Jazz serba baru ini pada aspek keselamatan dan juga sambungan internet tanpa wayar. Pakej keselamatan Honda SENSING yang hanya dipasang pada model yang lebih mahal mula menjadi peralatan keselamatan pada Jazz serta Honda CONNECT pula memberikan sambungan atas talian pada pengguna Jazz

Honda Connect ini menawarkan fungsi seperti fungsi kawalan jauh untuk ciri-ciri tertentu melalui penggunaan telefon pintar, sambungan kecemasan automatik sekiranya Jazz terlibat dalam kemalangan, dan sambungan dengan pihak keselamatan sekiranya ia mengesan terdapat abnormaliti pada kereta.

Google ads
Back to top button