Buletin

COVID-19 – TOKYO MOTOR SHOW 2021 SAH DIBATALKAN

Persatuan Pengeluar Kenderaan Jepun (JAMA) mengesahkan bahawa ia akan membatalkan acara Tokyo Motor Show (TMS 2021) yang dijadual berlangsung pada Oktober depan berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda. 

Pengumuman yang sudah dijangka itu dibuat ketika jumlah kes jangkitan COVID-19 dilihat terus meningkat di Tokyo, Osaka dan bandar-bandar utama Jepun yang lain. Malah, kerajaan Jepun dikatakan bakal mengisytiharkan darurat kali ketiga dalam usaha mengekang penularan jangkitan. 

Pengerusi JAMA yang juga Presiden Toyota Motor, Akio Toyoda memberitahu persatuan itu memilih untuk membatalkan TMS 2021 daripada melakukannya secara dalam talian. “Kami mahu menganjurkan acara yang sebenar,” tegas Toyoda. 

Dengan peningkatan kes COVID-19, JAMA melihat adalah mustahil untuk pihaknya mengadakan satu acara sebesar TMS dengan selamat. 

TMS dianjurkan setiap dua tahun. Edisi tahun 2019 berjaya menarik penyertaan 192 buah syarikat dan 1.3 juta pengunjung. Ia merupakan kali pertama dalam tempoh 12 tahun jumlah pengunjung melepasi angka satu juta orang. 

Acara motor show utama yang lain pun sudah banyak dibatal atau ditangguhkan. North American International Auto Show yang menjadi acara kelima terbesar di dunia telah dibatalkan untuk tahun kedua berturut-turut. Langkah sama turut diambil oleh penganjur Geneva International Motor Show yang biasanya diadakan setiap tahun di Switzerland.

Namun, beberapa auto show di China yang menyaksikan jangkitan kes terkawal diteruskan. Beijing Motor Show berjaya dianjurkan pada September 2020 selepas ditangguhkan selama beberapa bulan. Manakala Shanghai Motor Show pula telah bermula pada 19 April lalu.  – Nikkei Asia 

Google ads
Back to top button