
TOYOTA AKHIRI PENGELUARAN DI AUSTRALIA SELEPAS 54 TAHUN BEROPERASI
Inilah kesan buruk globalisasi. Tiga tahun lalu Toyota telah mengumumkan bahawa operasi pengeluaran kenderaan di Australia bakal ditutup dan secara rasminya operasi yang bermula sejak tahun 1963 ditamatkan pada hari ini.
Kira-kira tiga ribu orang termasuk pekerja, bekas pekerja, pembekal, pengedar dan pegawai dari Toyota Motor Corporation (TMC) hadir pada majlis penutupan di kilang Altona, Melbourne.
Sebelum ditutup kenderaan yang dikilangkan di Australia bukan sahaja untuk kegunaan domestik malah dieksport ke negara luar seperti Timur Tengah. Sementara itu, Pengerusi TMCA, Max Yasuda mengumumkan penubuhan Yayasan Komuniti Toyota Australia supaya dapat terus menyumbang kepada rakyat Australia dalam jangka masa panjang selepas penutupan kilang.
Tabung itu akan dimulakan dengan dana berjumlah AUD 32 juta yang bakal digunakan untuk memberikan sokongan pendidikan kepada kanak-kanak di kawasan sekitar Altona. Langkah pertama ialah dengan memberi sokongan kepada pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan sekolah tanpa fasiliti sempurna.
Dalam majlis penutupan itu, Presiden TMC, Akio Toyoda turut memberi ucapan melalui video. Dalam video tersebut dipaparkan rakaman lawatan Akio ke kilang Altona pada Ogos lalu di mana beliau memberi semangat dan mengucapkan terima kasih kepada para pekerja.
“Saya dengan seikhlas hati mengucapkan terima kasih kepada pekerja, pelanggan, pembekal, pengedar, pegawai kerajaan dan komuniti setempat yang telah menyokong aktiviti pengilangan Toyota di Australia. Walaupun, operasi pengilangan tamat hari ini, kami akan terus berusaha untuk menjadi pengeluar kenderaan yang disukai semua orang di negara ini dan mendapat sokongan lebih dari apa yang ada hari ini.”
BACA: INI UCAPAN AKIO TOYODA – PRESIDEN TOYOTA YANG MENGGETARKAN JIWA
Di bawah ialah perancangan TMCA selepas penutupan operasi pengilangan:
- Memindahkan operasi jualan dan pemasaran dari Sydney ke ibu pejabat TMCA di Melbourne
- TMCA akan beralih kepada operasi jualan nasional dan pengedaran bermula dari tahun 2018
- Dari 3,900 pekerja, TMCA akan beroperasi dengan anggaran 1,300 pekerja
- Kilang di Altona akan dijadikan tempat latihan dan pembangunan produk hasil dari pengetahuan dan pengalaman terkumpul sebelum ini untuk terus membangunkan warga kerja Toyota, produk dan perkhidmatan
Selain itu, selepas mengumumkan penutupan operasi pengilangan tiga tahun lalu, TMCA telah melakukan pelbagai program untuk membantu pekerja terjejas di antaranya seperti konsultasi karier, informasi pekerjaan, karnival kerjaya dan latihan kemahiran pekerjaan.
BACA: TAHUKAH ANDA, TOYOTA HILUX DAH 13 TAHUN TAK JUAL DI JEPUN – TAHUN INI MASUK KEMBALI
Program seperti ini dijangka akan diteruskan TMCA sehingga pertengahan 2018. Di bawah ialah jumlah produksi di Australia sejak tahun 1963.
Model | Jumlah produksi | Tempoh produksi |
---|---|---|
Tiara | 1,684 | 1963-1965 |
Corona | 336,197 | 1965-1987 |
Crown | 46,690 | 1966-1980 |
Corolla | 601,104 | 1967-1999 |
Camry | 2,168,104 | 1987-2017 |
Apollo (Model Camry yang dibekalkan kepada GM Holden) | 40,287 | 1989-1996 |
Nova (Model Corolla yang dibekalkan kepada GM Holden) | 28,128 | 1989-1996 |
Avalon | 44,741 | 2000-2005 |
Aurion | 184,180 | 2006-2017 |
Jumlah | 3,451,115 | 1963-2017 |