Motosikal

PROSES PENJUALAN DUCATI KINI DIBATALKAN OLEH VW GROUP

Sejak beberapa bulan lepas komuniti peminat permotoran menunggu dengan penuh debaran ke mana hala tuju syarikat pengeluar superbike terkemuka Itali, Ducati bila ia dibuka untuk jualan oleh syarikat induknya iaitu Volkswagen Group.

Bagaimanapun ramai yang menarik nafas lega khususnya para peminat Ducati sendiri bila pengurusan tertinggi VW dikatakan menarik balik cadangan jualan tersebut berikutan tekanan yang diberikan oleh kesatuan sekerja.

Laporan Bloomberg dipetik berkata, hal tersebut dimaklumkan sendiri oleh ketua cawangan FIOM CIGL (kesatuan sekerja). Sumber memetik, CEO Ducati telah mengumumkan khabar gembira tersebut kepada para pekerjanya pada Jumaat lepas bahawa pengurusan tertinggi VW telah bersetuju dengan tuntutan mereka.

Beliau juga menambah, permintaan pekerja tersebut juga telah disokong oleh IG Metall (sebuah lagi kesatuan pekerja industri yang berpengaruh di Eropah) agar Ducati kekal di bawah naungan VW Group. VW Group juga dikatakan bakal meneruskan pelaburan mereka dalam Ducati.

Volkswagen dalam beberapa bulan lepas dikatakan berhasrat menjual syarikat Ducati dan telah menyenarai pendek beberapa syarikat yang dikatakan berminat untuk membelinya. Walaupun butir-butir terperinci tidak dikeluarkan tetapi antara pihak yang dikatakan berminat termasuklah Investindustrial Spa dan Edizione Srl. Turut dilaporkan berminat memilikinya ialah syarikat keluarga Benetton yang juga merupakan bekas pemilik Ducati.

BACA: EICHERS MOTOR SEMAKIN HAMPIR MEMILIKI DUCATI

Bagaimanapun tawaran yang paling menarik perhatian kita tentulah daripada syarikat pengeluar motosikal India, Royal Enfield yang dikatakan sudah merancang penbiayaan untuk melunaskan bayaran kepada Ducati. Nampaknya memang Ducati memang akan kekal sebagai Ducati dan bukannya Dukari.

Kegagalan menjual Ducati bagaimanapun dijangka merugikan VW yang mahu mengumpulkan wang untuk kos skandal Dieselgate yang mencecah USD30 billion. Ducati dianggarkan bernilai lebih kurang USD 1 billion berdasarkan harga yang dibayar oleh Audi sewaktu membelinya sekitar lima tahun lepas.

Pemilikan Ducati oleh syarikat motosikal lain bukan hanya untuk prestij yang ada padanya tetapi lebih penting lagi ialah pemindahan teknologi yang menjadi kekuatan pengeluar superbike dari daerah Panigale, Itali itu.

GALERI:

Google ads
Back to top button