
TOYOTA AYGO X BAHARU KINI LEBIH GARANG, LEBIH JIMAT DAN LEBIH HIJAU
Toyota telah memberikan nafas baharu kepada model paling kecil dan mampu miliknya, Aygo X, dengan penampilan yang lebih agresif serta trenkuasa hibrid baharu yang dikatakan menghasilkan emisi CO₂ paling rendah bagi kereta bukan plug-in di Eropah.
Aygo X kini menggunakan trenkuasa hibrid petrol-elektrik 1.5 liter empat silinder yang sama seperti digunakan pada model lebih besar, Toyota Yaris. Enjin ini mampu menghasilkan sehingga 114hp dan menghantar kuasa ke roda hadapan.
Dengan penambahan kuasa ini, Aygo X kini boleh memecut dari 0-100km/j dalam kurang daripada 10 saat – peningkatan yang ketara berbanding model terdahulu yang mencatat 14.9 saat.
Menurut pengurus produk, Cesar Romero, ia juga dijangka mampu mencapai penggunaan bahan api melebihi 74mpg (sekitar 3.8L/100km), tertakluk kepada ujian rasmi WLTP.

Enjin lama 1.0 liter tiga silinder berkuasa 71hp, yang telah digunakan sejak generasi asal Aygo hampir dua dekad lalu, kini telah dihentikan pengeluarannya. Bersama dengannya, pilihan transmisi manual turut digugurkan, menjadikan Aygo X hanya ditawarkan dengan transmisi automatik gaya CVT seperti Yaris.
Kenapa Toyota Beralih kepada Hibrid?
Selain prestasi jauh lebih baik, langkah menamatkan enjin petrol tradisional ini turut dipacu oleh mandat kenderaan tanpa emisi (ZEV) di UK serta sasaran pelepasan karbon untuk armada kenderaan.
Setiap pengurangan 167g/km CO₂ daripada jumlah emisi tahunan sesebuah pengeluar boleh ditukar kepada satu jualan ZEV, membolehkan mereka menjual satu kereta elektrik kurang, atau satu kenderaan ICE tambahan tanpa menjejaskan had emisi.
Bagi model seperti Aygo X yang merupakan antara model terlaris Toyota di UK (sekitar 14,000 unit tahun lalu), penggunaan sistem hibrid baharu yang hanya mengeluarkan 86g/km CO₂ (23g lebih rendah daripada enjin lama), membolehkan Toyota menjual lebih 2,000 kenderaan ICE tambahan dan masih kekal dalam had yang ditetapkan.

Harga Bakal Naik, Tapi Kos Milikan Menarik
Walaupun trenkuasa hibrid baharu ini dijangka membawa peningkatan harga, Romero menjelaskan bahawa Toyota menyasarkan kepada kos pemilikan keseluruhan (total cost of ownership) yang lebih rendah.
“Penggunaan bahan api kereta ini akan jauh lebih rendah berbanding model semasa, jadi kami jangka peningkatan kos tidak terlalu besar,” jelas beliau.
Sebagai perbandingan, Aygo X petrol sedia ada bermula dari £16,485 (RM79,798), manakala Yaris bermula pada £23,445 (RM113,490) di UK.
Kemas Kini Dalaman: Lebih Moden dan Praktikal
Di dalam kabin, Aygo X menerima beberapa kemas kini halus tetapi signifikan. Panel meter analog digantikan dengan paparan digital kecil, dan dua port USB-C disediakan di bawah kawalan pendingin hawa.
Sensor inframerah kini dipasang pada rak stereng untuk menyokong sistem pemantauan tumpuan pemandu yang diwajibkan oleh EU. Beberapa butang pada stereng turut diperbaharui untuk kawalan amaran had laju dan sistem kekal laluan.

Memperkenalkan Aygo X Hybrid GR Sport
Bukan itu sahaja, buat pertama kalinya, Toyota menawarkan versi Aygo X Hybrid GR Sport yang tampil lebih sporty dan menyeronokkan untuk dipandu. Diinspirasikan daripada kejayaan pasukan Toyota Gazoo Racing, model ini hadir dalam warna eksklusif Mustard bi-tone dengan bonet berwarna hitam menonjol.
Gril hadapan menampilkan rekaan mesh “G-pattern” yang ikonik dalam keluarga GR, bersama rim aloi GR Sport yang unik. Di bahagian dalam, hiasan hitam dan kelabu serta sulaman logo GR menambah aura sporty.
Aygo X Hybrid GR Sport juga mendapat talaan khas penyerap hentak dan spring untuk kawalan olengan badan yang lebih baik serta pengendalian yang lebih tajam.
Sistem stereng kuasa elektrik turut ditala semula untuk maklum balas pemanduan yang lebih responsif, tanpa mengorbankan keselesaan di jalan bandar.
Dengan penampilan baharu, trenkuasa lebih efisien dan teknologi moden, Aygo X kini menjadi pilihan lebih relevan untuk pemandu bandar yang mahukan gaya, penjimatan, dan kelestarian dalam satu pakej kompak.
GALERI:





