Buletin

SUBARU SAH AKAN LANCAR MODEL BERPRESTASI TINGGI, STI KEMBALI?

Subaru kembali mengusik para peminatnya dengan bayangan sebuah model prestasi baharu yang bakal didedahkan pada Japan Mobility Show di Tokyo, Oktober ini.

Apakah ini petunjuk bahawa STI, model ikonik yang pernah mendominasi dunia rali dan jalanan akan kembali mewarnai pentas automotif?

Soalan paling hangat sejak STI terakhir keluar dari pasaran Amerika Syarikat pada 2021 ialah “Akan adakah WRX STI generasi baharu?”Tambahan pula, sebahagian peminat masih berharap kepada kemunculan semula bentuk hatchback seperti generasi Impreza WRX STI terdahulu.

Namun, sehingga kini, Subaru hanya memberi petunjuk samar-samar sehinggalah baru-baru ini.

Ketika sesi media sempena siri perlumbaan Super Taikyu di Litar Fuji, Tetsuro Fujinuki, Pengarah Urusan Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal Subaru, mengesahkan bahawa satu model prestasi baharu akan dipersembahkan di Japan Mobility Show tahun ini.

Laman automotif Jepun Car Watch melaporkan bahawa model tersebut berkemungkinan besar merupakan versi baharu WRX, atau lebih menarik lagi, sebuah STI. Namun buat masa ini, tiada perincian rasmi dikongsikan.

Subaru turut menyiarkan sekeping imej acah yang menunjukkan rupa hadapan model baharu tersebut, jelas meminjam garis rekaan WRX semasa. Tetapi, yang menarik perhatian ialah garisan bumbung, di mana ia kelihatan lebih panjang, seakan-akan wagon atau hatchback.

 Adakah ini versi berprestasi tinggi Levorg? Atau mungkinkah ini WRX hatchback yang dinanti-nantikan?

Fujinuki turut menyatakan bahawa model baharu ini akan “menggunakan sepenuhnya teknologi semasa kami” dan akan menjadi “kereta lebih canggih untuk masa depan.”

Beliau memberi bayangan bahawa lebih banyak perincian tentang halatuju divisyen prestasi Subaru akan didedahkan sewaktu pameran tersebut berlangsung.

Buat masa ini, pasaran Amerika Syarikat dan banyak negara lain masih ditawarkan WRX dan WRX tS, kedua-duanya versi sedan dengan kuasa sehingga 271hp. Walaupun enjin Boxer turbo dan sistem pacuan semua roda (AWD) masih menjadi teras, ketiadaan varian STI nyata dirasai peminat tegar.

Terdapat juga desas-desus mengenai STI generasi seterusnya berasaskan kuasa elektrik sepenuhnya, tetapi dengan perubahan landskap industri dan strategi Subaru yang masih belum muktamad, hala tuju sebenar masih kabur.

Apa yang pasti, Subaru sedang merancang sesuatu yang besar. Sama ada ini kebangkitan STI dalam bentuk tradisional, atau satu interpretasi baharu untuk era moden.

Google ads
Back to top button