
SUZUKI BURGMAN 400 2025 – 3 WARNA BAHARU UNTUK UK, RM41 RIBU
Saingan skuter maxi di pasaran tempatan sememangnya sengit. Pembeli mempunyai pelbagai pilihan susulan pengeluar berlumba-lumba menawarkan pakej terbaik.
Di sebalik saingan tersebut, Suzuki Burgman 400 masih lagi ‘steady’.
Terbaru Suzuki memperkenalkan tiga pilihan warna baharu yang menyegarkan untuk pelanggan di United Kingdom (UK).
Tiga pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah:
- Pearl Matt Shadow Green: Pilihan warna yang anggun ini dihiasi dengan rim roda berwarna emas yang menyerlah serta kemasan hitam, memberikan penampilan yang mewah dan bergaya.
- Metallic Reflective Blue: Warna biru metalik yang menarik perhatian ini juga dipadankan dengan rim roda berwarna emas, menambah sentuhan kemewahan.
- Metallic Mat Black No.2 (YKV): Bagi mereka yang menggemari gaya yang lebih ringkas namun tetap menonjol, versi serba hitam ini turut dilengkapi dengan rim roda berwarna emas, menjadikannya pilihan yang klasik dan sporti.
Model semasa dikuasakan enjin silinder tunggal yang menghasilkan 29 ps pada 6,300 rpm dan 35.2 Nm tork pada 4,900 rpm.
Penggunaa bahan api pula sekitar 30.0 km/L atau 3.3 liter per 100 kilometer.
Dari segi kemudahan, Burgman 400 tidak berkompromi. Ia menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 42 liter, yang boleh memuatkan dua buah topi keledar, menjadikannya sangat praktikal untuk kegunaan bandar.
Terdapat dua petak simpanan hadapan yang menyediakan ruang gabungan 6.3 liter, termasuk ruang 3.5 liter di sebelah kanan untuk peta dan barangan lain, serta ruang 2.8 liter di sebelah kiri dengan soket 12V DC untuk mengecas peranti mudah alih.
Keselamatan turut diberi perhatian dengan sistem kawalan cengkaman (traction control system) yang membantu mengekalkan kestabilan motosikal di permukaan licin atau basah.
Ciri ini boleh dinyahaktifkan melalui suis di pemegang kanan jika tidak diperlukan.
Posisi menunggang Burgman 400 direka untuk keselesaan. Pelana duduk dua tingkat 20 milimeter (mm) lebih tebal berbanding model sebelumnya.
Penyandar belakang penunggang boleh dilaras 15mm atau 30mm ke hadapan untuk memberikan sokongan badan yang disesuaikan.
Cermin penghadang angin yang dinaik taraf pula memberikan pandangan yang lebih jelas dan perlindungan angin yang lebih baik.
Harga atas jalan (OTR) untuk Suzuki Burgman 400 di pasaran global adalah £7,199 (RM41,330.40).
Burgman 400 di Pasaran Malaysia
Untuk pasaran tempatan Malaysia, kali terakhir berita mengenai Suzuki Burgman 400 adalah pada Januari 2022. Ketika itu, model Suzuki Burgman 400 diperkenalkan pada harga RM45,999.
Warna yang ditawarkan pada waktu itu hanyalah Metallic Matte Sword Silver.
Spesifikasi Teknikal Suzuki Burgman 400 2025 UK:
- Jenis Enjin: 4-lejang, 1-silinder, sejukan cecair, DOHC, empat injap, dwi-palam pencucuh (untuk model Euro 5)
- Sesaran Enjin: 400cc (24.4 cu. in.)
- Transmisi: CVT (Continous Variable Transmission)
- Kuasa Maksimum: 29 ps @ 6,300 rpm
- Tork Maksimum: 35.2 Nm @ 4,900 rpm
- Penggunaan Bahan Api: 30.0 km/L atau 3.3 liter per 100 kilometer
- Ketinggian Pelana: 755 mm (29.7 inci), penyandar belakang penunggang boleh laras 15 mm ke hadapan dan 30 mm ke belakang.
- Berat (Kerb): 218 kg
- Suspensi Hadapan: Teleskopik 41 mm, spring gegelung, redaman minyak
- Suspensi Belakang: Jenis sambungan (preload adjustable monoshock), spring gegelung, redaman minyak
- Brek Hadapan: Cakera hidraulik berkembar 260 mm
- Brek Belakang: Cakera tunggal 210 mm
- Sistem Brek: ABS dua saluran standard
- Tayar Hadapan: 120/70-15M/C 56S
- Tayar Belakang: 150/70-13M/C 64S
- Kelegaan Tanah: 125 mm (4.9 inci)
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 13.5 L
- Ciri-ciri Lain: Sistem kawalan cengkaman, paparan tolok analog berkembar dan panel LCD, pencahayaan LED sepenuhnya.







