Buletin

TOYOTA BAKAL HASILKAN MODEL COROLLA AWD HIBRID?

Toyota kini dilapor sedang mempertimbangkan untuk memasang sistem pacuan semua roda (AWD) hibrid ke atas model Corolla.

Langkah itu dibuat kerana Toyota mahu mengembangkan tawaran model elektrik ke dalam portfolio kenderaannya. Sistem AWD hibrid mula diperkenalkan pada model Lexus UX250h di pasaran Amerika Utara.

Memetik laporan Autoguide, sistem sama akan dipasang pada kenderaan elektrik Prius AWD 2019. Sistem itu menambah satu motor elektrik pada gandar belakang. Toyota bagaimanapun masih belum mendedagkan output kuasa Prius AWD, tetapi rangkaian kuasa itu menjana 176 untuk Lexus UX250h.

Pengurus Besar Toyota Motor North America, Jack Hollis tidak menafikan mengenai idea penghasilan Corolla AWD ketika ditanya dalam satu temuramah ketika Los Angeles Auto Show 2018 baru-baru ini.

“Memang idea ini sedang dipertimbangkan. Kamu pernah dengar daripada Ketua Pegawai Eksekutif kami, Akio Toyoda bahawa beliau mahu menawarkan pilihan model hybrid dalam setiap model kenderaan Toyota.

“Kami tidak mahu memberi komen terlalu awal tentang Corolla AWD. Tetapi sistem AWD ini adalah fleksibel dan jika wujud permintaan, jadi kami akan cuba untuk memenuhinya,” kata Hollis.

Ketua Jurutera Corolla, Yoshiki-San juga mengakui bahawa secara teknikalnya, sistem AWD hibrid memang boleh dipasang pada model Corolla. Malah beberapa varian Corolla sedang dikaji, namun ia bergantung kepada permintaan pelanggan.

Biarpun masih belum ada lampu hijau diberi, namun tidak mustahil Toyota akan menghasilkan varian Corolla AWD. Kita tunggu…

Google ads
Back to top button