Buletin

TOYOTA C-HR PROLOGUE DIDEDAHKAN, REKAAN HADAPAN IKUT JEJAK CROWN, PRIUS

Ketika ia mula diperkenalkan pada tahun 2016, Toyota C-HR merupakan antara model terawal Toyota yang menggunapakai platform serba moden TNGA (Toyota New Global Architecture).

Pada ketika itu, rekaan C-HR benar-benar di luar kotak dan lari dari kebiasaan rekaan SUV semasa.

Untuk model C-HR generasi baharu, anda boleh membayangkan ia bakal tampil dengan pendekatan yang serupa menerusi pengenalan model konsep C-HR Prologue.

Sekali pandang, C-HR Prologue ini membawakan kemasan tiga tona warna, diikuti dengan elemen rekaan fascia hadapan yang diinspirasikan daripada model Crown dan Prius.

Menurut Toyota, C-HR Prologue ini membawakan jarak overhang yang lebih pendek, namun masih lagi mampu menawarkan ruang yang selesa di dalam.

Ini mencadangkan dimensi jarak antara roda C-HR baharu adalah sedikit panjang berbanding model semasa.

Beberapa elemen canggih yang terdapat pada model ini seperti pemegang pintu tertanam dan kamera sisi mungkin akan digantikan dengan pemegang pintu tradisional serta cermin sisi fizikal untuk versi produksi kelak.

Toyota tidak mendedahkan secara terperinci maklumat seperti trenkuasa serta tarikh pelancaran model SUV ini.

Google ads
Back to top button