BuletinBuletin Khas

TOYOTA CAMRY, SEDAN SEGMEN D PALING MEWAH DAN SELESA

Toyota Camry generasi terbaru diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018 dengan Tagline Beautiful Monster. Walaupun dicabar dari semua penjuru, Toyota Camry masih lagi mempertahankan nilai tradisi yang dipegang sejak dari dulu lagi. Ia merupakan sedan paling selesa dan mewah dalam segmen D sehingga hari ini

Sebagai contoh dalam aspek keselesaan NVH, enjin 2500cc dual VVTi 2AR-FE yang menghasilkan 181 kuasa kuda dan 235Nm tork ini memang sangat senyap apabila beroperasi. Walaupun diperah pada RPM tinggi, amat susah untuk mendengar bunyi enjin dalam kabin

Ia disumbangkan dengan penggunaan sistem Acoustic Control Induction System dengan panjang rongga kemasukan udara boleh berubah mengikut operasi enjin. Sekiranya Camry dipandu perlahan, rongga kemasukan udara menggunakan laluan yang lebih panjang bagi membolehkan penghasilan kuasa yang baik pada RPM rendah.

Jika Camry dipandu laju, ACIS akan memendekkan perjalanan udara, menghasilkan kuasa yang bagus pada RPM tinggi dan mengurangkan bunyi enjin mengaum. Ini menyebabkan Camry terasa amat berkuasa tanpa anda perlu mendengar bunyi enjin pada RPM tinggi

Jika anda memilih untuk memandu Camry sendiri, terdapat 8 tetapan pada kusyen pemandu dengan bantuan kuasa elektrik untuk kedudukan yang ideal. Tetapan ini boleh disimpan dengan 2 memori, satu untuk pemilik kereta dan satu lagi untuk pemandu peribadi anda.

Malah penumpang depan juga turut disediakan dengan kusyen bantuan kuasa elektrik 8 tetapan. Roda stering juga boleh dilaras dengan bantuan kuasa elektrik, satu ciri yang amat jarang dijumpai pada mana-mana sedan segmen D setakat ini iaitu lengkap dengan ciri memori

Tapi jika anda memilih untuk membiarkan Camry dipandu oleh pemandu peribadi, kusyen di barisan belakang amat ideal untuk berehat. Tirai cermin belakang boleh ditutup secara automatik dan tirai pada cermin sisi belakang boleh ditutup secara manual bagi mewujudkan suasana yang lebih privasi untuk berehat

Kemudian arahkan saja pemandu membuka sistem audio yang dikuasakan dengan 9 pembesar suara berjenama JBL lengkap dengan satu subwoofer. Kualiti bunyi yang dihasilkan sangat memuaskan halwa telinga apatah lagi not bunyi dihasilkan dengan perisian Clari-Fi

Sistem JBL ini merupakan sistem penghapusan bunyi bising aktif yang menggunakan sistem pemproses signal untuk membina semula butiran bunyi yang berkualiti dari sistem digital dan menghasilkannya semula dalam kualiti yang lebih realistik

Selain lena diulit dengan bunyi muzik yang mengasyikkan, penumpang dan pemandu Carmry akan dibalut dengan keselesaan yang ditawarkan oleh platform Toyota New Global Architecture. Platform ini bukan sahaja menyokong sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense tapi turut memuatkan sehingga 7 beg udara sebagai perlindungan tambahan

Suspensi belakang Camry menggunakan suspensi rekaan Double Wishbone biasanya digunakan oleh kereta prestasi tinggi. Namun suspensi ini beraksi dengan cemerlang sekali pada Camry dengan menyerap segala kecacatan permukaan jalan serta menawarkan kawalan cesi yang bagus sekali ketika di selekoh.

Jadi tidak hairanlah jika Toyota Camry masih lagi memegang takhta sebagai sedan segmen D paling popuar berbanding dengan pesaingnya yang lain. Ia sebuah sedan yang luas, selesa, lengkap dengan ciri Toyota Safety Sense, diperincikan lagi dengan ciri NVH yang bagus bagi menawarkan kualiti pemanduan yang selesa dan mewah.

Google ads
Back to top button