
SAYONARA TOYOTA CAMRY – PENGELUARAN DI JEPUN TAMAT AKHIR TAHUN INI
Selepas 43 tahun, Toyota akhirnya memutuskan untuk menghentikan pengeluaran Camry di pasaran Jepun.
Secara keseluruhan, sedan empat pintu itu berjaya mencatat jualan lebih 21 juta unit di seluruh dunia, dengan 1.3 juta daripadanya adalah di Jepun.
Menurut Toyota, pasaran tempatan Jepun kini lebih berminat terhadap SUV dan minivan. Nikkei Asia sebelum ini melaporkan bahawa pengeluaran domestik Camry akan dihentikan pada akhir tahun ini.

Namun, peminat Camry di pasaran luar Jepun boleh menarik nafas lega kerana model Camry baharu akan terus dijual dan dibangunkan untuk lebih 100 pasaran asing, termasuk Amerika Syarikat.
Di AS, Camry disenaraikan sebagai kereta terlaris selama 15 tahun berturut-turut sejak tahun 2001.
Selain AS, pengeluaran Camry juga akan diteruskan di China dan Asia Tenggara. Malah, dengan 600,000 unit terjual di seluruh dunia tahun lepas, masih terdapat permintaan mencukupi bagi menjamin generasi baharu sedan tersebut.
Tetapi untuk pasaran Jepun, peminat Camry di sana hanya boleh menunggu SUV atau model lain dari Toyota.








