Buletin

TOYOTA CROWN CROSSOVER EDISI TERHAD TERIMA KEMASAN CAT BAHARU ‘MATTE METAL’ – HARGA BERMULA RM240K

Dalam usaha untuk mengembangkan lagi pilihan pelanggan untuk Siri Crown di Jepun, Toyota baru-baru ini memperkenalkan edisi khas pengeluaran terhad dengan ciri-ciri lebih menarik.

Menurut Toyota, Toyota Crown Crossover edisi terhad itu didatangkan dengan cat baharu iaitu Matte Metal, di mana ia lebih mudah digunakan berbanding dengan balutan serta kemasan matte biasa.

Edisi “Limited Matte Metal” adalah berdasarkan Toyota Crown Crossover RS ​​Advanced berspesifikasi tinggi, termasuk menambah beberapa sentuhan unik dari segi reka bentuk luaran dan dalaman.

Walaupun cat khas perlu disalut semula setahun sekali, ia masih jauh lebih tahan lama berbanding kebanyakan kemasan matte biasa.

Lebih penting lagi, ia menjadikan Crown Crossover kelihatan lebih mantap berbanding sebelum ini, digabungkan dengan pelapisan logam matte dan rim aloi 21-inci hitam matte.

Pekerja bahagian teknologi Toyota, Miyuki Takeya mengakui salutan tambahan untuk cat Matte Metal tidak diterima baik oleh pekerja kilang pada mulanya, kerana ia memerlukan satu jam tambahan bekerja berbanding pilihan standard.

Walau bagaimanapun, seperti dilaporkan oleh Car Watch Impress, penampilan prototaip yang menarik meyakinkan semua orang untuk berusaha lebih keras.

Di dalam, pereka Toyota memilih tema “Black Lumish”, menampilkan kulit hitam, jahitan merah serta aksen hitam.

Tak cukup dengan itu, turut disertakan ialah bahan berlapik lembut, digunakan pada konsol tengah, kad pintu dan papan pemuka untuk nuansa lebih premium.

Secara mekanikal, model berkenaan dilengkapi enjin 2.4 liter turbo dan dua motor elektrik, berupaya menghasilkan 345hp dan 542Nm tork.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan kuasa pula disalurkan kepada sistem pacuan semua roda E-Four Advanced.

Crown Crossover Limited Matte Metal tersedia secara eksklusif di Jepun, bermula pada harga  AS$51,410 (RM240,624), lebih mahal berbanding Crown Crossover RS ​​Advanced, AS$43,945 (RM205,684).

GALERI:

Google ads
Back to top button