
ZONTES 500 T DIDEDAHKAN – ENJIN SATU SILINDER, 51HP, 50NM
Bagi yang mengikuti perkembangan jenama motosikal dari China, jelas menampakkan masing-masing giat membangunkan motosikal berkuasa tinggi.
Pameran motosikal EICMA 2023 yang berlangsung pada November lalu mengukuhkan dakwaan ini dengan masing-masing mempamerkan model baharu dan prototaip yang akan diperkenalkan pada pasaran global tidak lama lagi.
Antara yang turut giat memperkenalkan jentera berkapasiti tinggi adalah Zontes.
Ketika di EICMA, Zontes telah mendedahkan dua model prototaip, ZT 703 F dan ZT 703 RR dengan masing-masing dibangunkan bagi memenuhi permintaan segmen ‘adventure’ dan ‘sportbike’.
Namun, Zontes terlebih dahulu akan memperkenalkan model bersesaran 500cc bagi tahun 2024 menerusi Zontes 500 T.

Bagaimanapun, ketika motosikal ‘adventure’ segmen 500cc rata-rata hadir dengan enjin dua silinder, Zontes memilih haluan berbeza dengan memperkenalkan enjin satu silinder 498cc dengan sistem penyejukan cecair. Meskipun begitu, model ini menawarkan tork yang lebih tinggi (berbanding model dua silinder lain dalam segmennya) dengan 50Nm manakala kuasa kuda pula diletakkan pada 51hp.
Menariknya, Zontes mendakwa enjin tersebut mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 180km/j.
Dari segi rekaan, Zontes 500 T ini mirip versi 301cc namun hadir dalam dua varian, dengan tayar spoke 19-inci depan dan 17-inci belakang serta rim aloi 17-inci depan dan belakang.








