Buletin

TOYOTA PREVIA 2.4GL

Toyota Estima bukanlah baru dalam pasaran MPV tempatan. Ia cukup digemari oleh pengguna sehingga membuatkan banyak grey importer membawanya masuk untuk memenuhi permintaan tersebut.

Toyota-Previa-2 (7)

Walaupun dirasakan agak terlewat, pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMW Toyota) akhirnya menawarkan Estima (diberi nama Previa) sebagai salah satu model dalam rangkaian produknya.

Diperkenalkan kepada umum sewaktu acara Kuala Lumpur International Motor Show yang berlangsung tahun lalu, UMW Toyota yakin masih ada pembeli yang mahu membeli Previa varian 2.4GL daripadanya.

Toyota-Previa-2 (3)

Sebab? Ini kereta baharu yang diambil daripada kilang Toyota di Jepun. Lebih penting lagi, ia hadir bersama jaminan daripada pengeluar selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu). Jadi, anda tidak perlu risau tentang isu khidmat selepas jualan, alat ganti atau penyelenggaraannya.

Previa generasi ketiga ini dijana oleh unit enjin 2AZ-FE DOHC 16 injap bersesaran 2.4 liter dengan sistem VVT-i (Variable Valve Timing with intelligence). Kuasanya itu dihantar ke roda hadapan menerusi transmisi Super ECT dengan mode pemilihan gear secara manual.

Toyota-Previa-2 (4)

MPV ini menggunakan suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam untuk roda belakang. Menyentuh aspek keselamatan pula, Previa dipasang dengan dua beg udara (ya, dua sahaja), ISOFIX, brek ABS dan EBD. Bagi mengelak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini, Previa dilengkapi sistem Toyota Premium Security dan filem solar sebagai ciri standard.

Ruang kabin Previa membolehkan tujuh orang penumpang duduk dengan selesa. Urusan keluar masuk juga semakin mudah dengan pintu kuasa pada kedua-dua belah sisi yang boleh dioperasi menggunakan kunci pintar atau suis pada panel pintu pemandu.

Toyota-Previa-2 (5)

Previa didatangkan dalam lima warna seperti putih, hitam, perak dan emas. Harganya, RM258,017 seunit (di atas jalan). Kini, UMW Toyota menawarkan pakej pengenalan servis percuma selama tiga tahun serta insurans dan cukai jalan percuma untuk tahun pertama kepada 300 pelanggan terawal.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button