
REVOLUSI BERMULA, MODEL EV FERRARI PERTAMA BAKAL DEBUT OKTOBER INI
Ferrari akan melancarkan kereta elektrik pertama mereka pada Oktober ini, seperti yang disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari, Benedetto Vigna, semasa pembentangan keputusan kewangan syarikat.
Walaupun Vigna memilih untuk berahsia, seperti kebiasaannya dalam kalangan pemimpin Ferrari, beliau menegaskan bahawa model elektrik pertama ini akan menawarkan kelainan berbanding dengan model EV lain yang ada di pasaran.
Menurutnya, gabungan gaya, prestasi dan pengalaman pemanduan yang mengujakan dijanjikan akan menjadikan kereta ini unik.
Berdasarkan gambar-gambar pengintipan, kereta ini kelihatan seperti crossover, atau sekurang-kurangnya sebuah GT, dan bukan kereta sukan.

Beberapa model ujian kereta yang menyerupai crossover empat pintu telah dilihat di sekitar Maranello dengan paip ekzos palsu dan mengeluarkan bunyi enjin disintesis.
Pelancaran EV ini sangat penting, bukan hanya untuk Ferrari tetapi juga dunia peminat kereta. Walaupun mungkin ada yang merasa kecewa dengan keputusan Ferrari untuk menghasilkan EV, mustahil untuk tidak merasa ingin tahu tentang hasil usaha jurutera dan pasukan reka bentuk Ferrari.
Namun, walaupun kereta elektrik ini merupakan pelancaran paling penting dari segi berita pada 2025, ia bukan satu-satunya model baru yang bakal dilancarkan oleh Ferrari pada tahun ini.
Syarikat itu dijangka memperkenalkan lima lagi model, termasuk model 12Cilindri Spider yang telah disahkan oleh Ferrari dalam pembentangan kewangan minggu ini.
Selain itu, walaupun tidak disahkan oleh Ferrari, pengganti bagi model Roma yang beroperasi dengan enjin hadapan juga dijangka akan dilancarkan. Model GT yang dijual pada tahun 2024 itu telah dihentikan pengeluarannya, dan penerusnya kini sedang menjalani ujian di Itali.
Vigna turut mengesahkan bahawa pelan strategi Ferrari mengenai hibrid-petrol-EV yang diumumkan pada 2022 tidak terjejas meskipun ada penurunan pasaran EV global.
Beliau juga menyatakan bahawa strategi Ferrari tidak akan dipengaruhi oleh rancangan tarif Presiden Trump – berkemungkinan akan melibatkan cukai produk yang diimport dari Eropah.
- BACA: MODEL AC COBRA GT KINI BOLEH DIBELI SECARA SAH DI TAIWAN MELALUI ACE ONE MOTORS. BARULAH SEMANGAT TAHUN ULAR AGAKNYA
- BACA: U POWER BAWA TEKNOLOGI PENUKARAN BATERI REVOLUSIONER KE THAILAND, SASAR SEKTOR TEKSI DAN E-HAILING
- BACA: ELAK KEKELIRUAN, AUDI UBAH PENAMAAN MODEL
- BACA: YAMAHA 135LC FI 2025 DIUMUMKAN – RM8,798 BAGI VERSI SE