Buletin

Toyota Fortuner HILUX & INNOVA FACELIFT – WARNA BAHARU, BERMULA RM100K 

Selari dengan falsafah Kaizen Toyota yang membawa maksud penambahbaikan berterusan, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa Toyota Fortuner, Innova dan Hilux kini diberi penambahbaikan baru.

Tempahan mula dibuka pada 3 September 2018, manakala pelancaran jualan dan penyerahan akan dilakukan pada penghujung September.

Toyota Fortuner dan Innova kini menerima warna baharu dikenali sebagai Phantom Brown (coklat) yang turut diperkenalkan di peringkat global. Jadi, pelanggan Fortuner kini mempunyai enam pilihan warna berbeza dan tujuh warna untuk Innova.

Fortuner juga dilengkapi sistem bantuan pemanduan untuk semua empat varian yang ditawarkan. Ini termasuklah Vehicle Stability Control (VSC), Brake Assist (BA), Hill-start Assist Control (HAC) dan Active Traction Control (A-TRC).

A-TRC berfungsi mengesan kadar pusingan roda dan mengagihkan tork di antara roda depan dan belakang untuk mengawal kenderaan daripada tergelincir.

Dibangunkan di bawah program Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV), Fortuner, Innova dan Hilux berkongsi DNA ketahanan dan ketangkasan yang sama.

Fortuner dan Innova mempunyai kapasiti tujuh dan lapan penumpang. Generasi terkini model-model terbabit menampilkan ciri-ciri seperti pintu kargo belakang berkuasa elektrik dan kawalan cruise (hanya bagi Model Fortuner), sistem Smart Entry & Start, lampu utama LED dan tempat duduk pemandu dengan lapan arah pelarasan.

Sistem infotainmen dengan paparan skrin sentuh yang besar turut didatangkan dengan ciri tambahan. Ia kini boleh disambungkan dengan telefon pintar dan internet.

Pemilik Fortuner, Innova dan Hilux akan menerima tempoh jaminan selaman lima tahun. Bagi Fortuner dan Innova, pula tiada had perbatuan yang dikenakan sepanjang tempoh berkenaan.

Harga bagi Fortuner, Innova dan Hilux baru ini, termasuk cukai jualan dan servis (SST) bagi pendaftaran persendirian, dan tidak termasuk insurans adalah seperti berikut:

Toyota Fortuner (4 varian) — dari RM170,500 hingga RM195,600

Toyota Innova (4 varian) — dari RM107,280 hingga RM132,400

Toyota Hilux [Double Cab] (5 varian)— dari RM100,000 hingga RM138,000

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.toyota.com.my untuk maklumat lanjut bagi semua model yang ditawarkan, atau untuk mengetahui lokasi bilik pameran Toyota yang terdekat di seluruh negara.

Google ads
Back to top button