,
Motosikal

MOTOGP MISANO: HONDA DAN DUCATI BANYAK BELAJAR DARI YAMAHA – ROSSI

Valentino Rossi mendakwa Honda dan Ducati banyak belajar dari Yamaha khususnya dalam menjinakkan jentera mereka agar lebih mudah dikendalikan seperti Yamaha M1. Itu merupakan pandangan beliau yang sememangnya sudah cukup lama menyuarakan tentang masalah elektronik dan pecutan pada jentera M1. Yamaha kini sudah mengumpul 22 kekalahan berturut-turut dan merupakan pencapaian terburuk mereka mengulangi sejarah sama dari musim 1997-1998.

Yamaha telah membuat perubahan besar pada jentera mereka sejak ketibaan Rossi dalam pasukan pada tahun 2004 tetapi sehingga kini mereka dilihat terikat dengan enjin empat-selinder sebaris berbanding pasukan lawan yang sudah pun menggunakan enjin V4.

Kini Honda dan Ducati sedang menguasai MotoGP dengan menggunakan nadi V4 berbanding Yamaha yang semakin nyawa-nyawa ikan. Antara persoalan yang timbul ialah adakah enjin V4 ini memang sesuai digandingkan dengan sistem elektronik MotoGP spesifikasi rendah yang sedang digunakan sekarang? Kalau ya, perlukah Yamaha menukar kepada jenis enjin yang sama?

Tiada apa yang perlu dimalukan jika menurut jejak Honda dan Ducati kerana dua jenama terbabit juga pernah belajar dari Yamaha, sambung Rossi. Ia kerana sekitar 3 ke 4 tahun sebelum ini, jentera Yamaha adalah begitu lancar dan mudah dikekang berbanding Honda dan Ducati yang agak meliar dan lebih agresif.

Bezanya Honda dan Ducati menggunakan enjin V4 dan mungkin ia satu masalah buat Yamaha yang masih kekal dengan enjin sebaris empat tapi Rossi sendiri pun tidak pasti tentang kebenarannya.

BACA: MOTOGP MISANO: TAMPARAN BUAT ROSSI – SEGALANYA KINI MAKIN SUKAR

Rakan sepasukan Rossi, Maverick Vinales yang menduduki tempat kelima pula menyatakan yang beliau bukannya orang yang sepatutnya bercakap tentang kelebihan dan kekurangan enjin yang berbeza. Tapi satu perkara yang beliau cukup pasti ialah, motosikal M1 ini perlukan cengkaman yang lebih baik.

Saya bukannya juruteknik jadi saya tidak tahu jika motosikal (Yamaha) ini perlu bertukar kepada enjin V4, sambung pelumba Sepanyol itu.

Sebagai pelumba MotoGP, Vinales menyatakan yang dia akan tahu jika sesebuah motosikal mempunyai cengkaman yang baik dan Yamaha M1 merupakan sebuah jentera terbaik (kecuali pada masalah cengkaman). Tapi bila cengkaman mula hilang dan sistem elektronik pula tidak membantu, adalah cukup sukar untuk pelumba memecut dengan lebih laju dan lancar.

Vinales turut mendakwa yang pada sesi ujian beliau berjaya mengambil semua selekoh dengan baik tanpa sebarang kesilapan. Tapi lain yang berlaku dalam perlumbaan sebenar bila beliau ‘terlepas’ satu dua selekoh dalam satu pusingan. Ini bermakna jentera Yamaha itu memang bermasalah dari segi cengkaman.

Yamaha perlu berusaha dengan lebih keras untuk mengatasi masalah kerana ia sudah berlarutan selama setahun setengah. Vinales masih lagi gembira dengan pencapaiannya walaupun ditimpa masalah. Ianya kerana sewaktu motosikal beliau dalam keadaan lancar, beliau memang mampu pergi dengan lebih laju.

Untuk rekod hanya Suzuki sahaja yang masih lagi menggunakan enjin sebaris empat seperti Yamaha. KTM dan Aprilia turut menyertai kem V4 bersama-sama dengan Honda dan Ducati.

Tags
Google ads
Back to top button