TOYOTA GR BZ4X DALAM PERANCANGAN – LAPORAN
Tidak dapat tidak, Toyota sebagai pengeluar perlu akur dengan kehendak pasaran semasa yang kini mahukan kenderaan yang lebih mesra alam menggantikan kereta berenjin pembakaran dalaman.
Daripada 15 buah kenderaan elektrik yang diperlihatkan hujung tahun lalu, satu daripadanya telah pun selesai dilancarkan – Toyota bZ4X yang merupakan sebuah crossover elektrik.
Pada masa akan datang, Toyota berkemungkinan besar akan turut memperkenalkan varian GR yang lebih berkuasa.
Menurut ketua jurutera pembangunan bZ4X, Daisuke Ido memberitahu laman Move Electric, model GR bZ4X sebenarnya sedang dipertimbangkan, namun Ido menjelaskan “ia masih lagi bukan idea yang konkrit”.
Tambahan pula, untuk menghasilkan sebuah GR bZ4X merupakan satu cabaran besar bagi memastikan ia mampu memenuhi standard pengendalian dan prestasi yang tinggi di bawah keluarga GR.
Terdapat beberapa modifikasi yang perlu dibuat sekiranya crossover elektrik itu mahu ditampalkan dengan lencana GR, mungkin sekali memerlukan hamburan kuasa yang jauh lebih tinggi.
Sebagai info, Toyota bZ4X boleh didatangkan dengan motor elektrik tunggal menghasilkan 201 hp, atau versi motor elektrik berkembar (pacuan semua roda) dengan kuasa setinggi 215 hp.
Awal tahun yang lalu, Toyota ada memperlihatkan sebuah crossover bZ4X GR Sport pada acara Tokyo Auto Salon dengan roda yang lebih besar, trim hitam serta penggunaan tempat duduk sports. Namun, tiada sebarang maklumat berhubung perubahan yang dibuat terhadap trenkuasa SUV tersebut. – Move Electric