
SKODA VISION 7S CONCEPT – PENGGANTI SUV ENYAQ YANG BAKAL MUNCUL 2026
Skoda baru-baru ini memperlihatkan sebuah model konsep SUV tujuh tempat duduk berkuasa elektrik yang bakal menggantikan posisi Enyaq pada tahun 2026.
Dikenali sebagai Vision 7S Concept, SUV tiga baris tempat duduk ini akan menjadi model andalan bagi jenama Skoda dengan menggunakan platform MEB yang sama digunakan pada model Enyaq EV.

Menurut Skoda, konsep ini menampilkan pek bateri 89 kWh dengan jarak gerak sekali cas sejauh 600 km, dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 200 kW.
Rupa luaran SUV Skoda Vision 7S Concept ini memperlihatkan bahasa rekaan baharu Skoda ‘modern solid’, di mana ia menggantikan logo tradisional Skoda dengan perkataan berwarna perak di bahagian atas gril.

Itu bukanlah perkara yang paling menonjol pada SUV ini, di mana jika dilihat dengan teliti, bahagian bampar depan dan belakang Vision 7S ini membawakan tujuh slot menegak.
Rekaan gril pula tidak menampilkan sebarang bukaan, sebaliknya ia menggunakan skrin kaca gelap, diikuti dengan sepasang unit lampu utama yang nipis dan disambungkan dengan jalur LED melintang penuh di bahagian atas.
Skoda menyifatkan muka baharu ini sebagai Tech Deck yang memberikan impresi kekuatan dan penampakan yang lebih premium.

Bahagian sisi menampilkan binaan rim sebesar 22 inci, diikuti dengan pintu bukaan suicide tanpa kehadiran tiang B – mungkin sekali tidak akan dibawakan pada model produksi sebagai salah satu penjimatan kos.
Ruang kabin Vision 7S Concept ini membawakan skrin sentuh tengah potret bersaiz 14.6 inci yang boleh diputarkan untuk tontonan filem, serta konfigurasi tempat duduk ‘relax’ yang membolehkan roda stereng dan papan pemuka dianjak sedikit ke depan untuk mencipta ruang dalaman yang lebih luas, diikuti dengan kerusi baris depan yang boleh diputarkan untuk menghadap ke belakang.
Selain daripada itu, terdapat pemasangan kamera pada bahagian siling yang membolehkan imej penumpang bahagian belakang dilihat oleh pemandu menerusi skrin infotainmen di hadapan.

Tempat duduk bayi juga diposisikan di bahagian terowong tengah, memandangkan Skoda mendakwa ia merupakan tempat yang paling selamat.
Skoda Vision 7S merupakan salah satu daripada tiga EV yang bakal dilancarkan dalam masa beberapa tahun akan datang, diikuti dengan sebuah hatchback kecil, dan sebuah crossover bersaiz kecil.