
MERCEDES-AMG GLA 35 4MATIC 2022. CKD PEKAN, 306HP/400NM, BERMULA RM345K
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melengkapkan lagi tawaran dalam portfolio model SUV GLA apabila memperkenalkan Mercedes-AMG GLA 35 4MATIC ke pasaran tempatan.
Model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang itu nyata menyerlah dengan kehadiran gril radiator vertikal AMG yang cukup garang. Bahagian bawah bampar hadapan pula dipasang dengan splitter bersama kemasan krom yang menjadikannya semakin sporty.
Melihat dari arah sisi, SUV berkuasa tinggi itu dipasang dengan rim aloi AMG berwarna hitam matte lima jejari berkembar bersaiz 20 inci.
Hendal pintu hadir dengan kemasan perak dan bumbungnya dilengkapi roof rail aluminium. Pergi ke arah belakang, anda akan melihat sepasang ekzos dan air diffuser berwarna hitam. Selain spoiler lip AMG dan lampu brek yang nipis.

Masuk ke ruang kabin, anda dihidangkan dengan susun atur, rekaan serta material yang cukup sinonim dengan Mercedes-Benz. Papan pemuka dihuni oleh satu panel panjang yang menempatkan dua skrin dengan setiap satunya bersaiz 10.25 inci. Kluster meter memaparkan segala maklumat pemanduan, manakala skrin sentuh untuk paparan infohibur pula dikuasakan oleh sistem MBUX terkini.
Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, sistem bunyi keliling Burmester pasti dapat memuaskan hati anda.
Tempat duduk dibalut oleh gabungan material kulit ARTICO dan gentian mikro DINAMIKA berwarna hitam bersama jahitan benang merah serta tali pinggang keledar MANUFAKTUR yang juga berwarna merah.
Ciri sporty diserlahkan lagi dengan kemasan seperti gentian karbon pada papan pemuka di hadpaan penumpang hadapan dan panel pintu. Pakej Light & Sight yang didatangkan sebagai ciri standard membolehkan pemandu menukar lampu embien daripada 64 warna berbeza.

Mercedes-AMG GLA 35 4MATIC menggunakan khidmat enjin turbo empat silinder bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 306hp dan tork maksimum 400Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke sistem pacuan semua roda menerusi kotak gear klac berkembar lapan kelajuan.
Rangkaian kuasa itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j. Biarpun begitu berkuasa, jentera itu masih mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 9.1 liter bagi setiap 100km.
Dari segi keselamatan, model tersebut hadir dengan kamera 360 darjah, Active Parking Assist bersama PARKTRONIC, Lane Tracking Package, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist, sistem penggera URBAN GUARD dan banyak lagi.
Mercedes-AMG GLA 35 4MATIC didatangkan dalam pilihan warna putih, hitam, perak, kelabu dan biru. Jentera itu sudah boleh ditempah dan penyerahan kepada pelanggan tidak mengambil masa terlalu lama. Jika berminat SUV itu boleh anda miliki pada harga bermula RM345,000 seunit.
- BACA: HALANG TRAFIK SEMATA-MATA NAK RAKAM TIK-TOK. MERCEDES E-CLASS CABRIO KENA RAMPAS
- BACA: MERCEDES-BENZ EQA 250 TIBA DI MALAYSIA. 190HP, 426KM SEKALI CAJ, BERMULA RM278K
- BACA: MERCEDES-AMG TERPAKSA TAMATKAN PENGELUARAN ENJIN V8 C63 TURBO BERKEMBAR
- BACA: MERCEDES-BENZ GLA CKD 2021. 2 VARIAN, BERMULA RM242,888
GALERI




















