Buletin

TOYOTA HARRIER FACELIFT 2017 – BODYKIT MODELLISTA, ENJIN TURBO 2.0L 

Walaupun tidak pernah dijual secara rasmi di Malaysia, SUV Toyota Harrier memang cukup popular dalam kalangan pengguna di Malaysia. 

Ditawarkan oleh pengimport parallel yang jaminan pun boleh diragui, namun itu tidak menghalang peminat Harrier untuk membelinya. Itu belum campur yang beli Harrier lepas tu letak logo Lexus. Kau rasa?

Sebenarnya di pasaran Jepun, dua generasi awal Harrier merupakan model rebadge Lexus RX. Sementara generasi ketiga yang dilancarkan pada tahun 2013 merupakan versi RAV4 lebih besar dan panjang.

Memandangkan usianya sudah mencecah empat tahun, Toyota Jepun telah melancarkan model facelift untuk SUV mewah tersebut baru-baru ini. Penambahbaikan kosmetik yang dilakukan termasuklah gril jenis sarang lebah pada bahagian bawah bampar.

Selain itu, brek parkir elektrik dengan ciri auto hold, lampu isyarat membelok LED dan lampu pada bahagian pintu dipasang untuk menyerlahkan lagi kemewahan Harrier baharu ini. Lebih mengujakan pastinya, tawaran bodykit Modellista yang merangkumi spoiler depan, skirting sisi, peresap udara di belakang dan cat warna ungu gelap.

Dengan tambahan cuma 30,000 yen(RM1,161), anda akan mendapat dek kayu pada ruang kargonya. Ia juga dipasang dengan radar dan kamera yang membentuk sistem keselamatan Toyota Safety Sense P.

Harrier 2017 kini dilengkapi dengan rangkaian kuasa baru yang lebih berkuasa dan menjimatkan. Jentera tersebut dijana oleh enjin turbo bersesaran 2.0 liter yang turut digunakan oleh banyak model Lexus.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa 231PS pada 5,200rpm dan tork 350Nm pada 1,650 hingga 4,000rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan atau keempat-empat roda menerusi kotak gear enam kelajuan automatik.

Untuk varian asas, Harrier menggunakan khidmat enjin 2.0 liter berkuasa 150PS. Sementara varian hibrid pula dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan sistem pacuan E-Four.

BACA: TOYOTA HARRIER DOMINATIONS

GALERI

Google ads
Back to top button