Buletin

TOYOTA LANCAR ROOMY & TANK DI JEPUN

Toyota hari ini melancarkan dua minivan kompak terbaharunya, Roomy dan Tank yang akan mula diedar menerusi rangkaian Toyota, Toyota Corolla, Toyopet dan Netz di seluruh Jepun. 

Roomy dan Tank dibina berdasarkan kepada konsep “1LD-CAR” yang menggabungkan ciri ruang kabin yang luas dan prestasi pemanduan. Ia mewakili segmen minivan kompak baharu yang sesuai untuk keluarga kecil dan pelanggan dengan pelbagai bentuk gaya hidup.

Toyota mensasarkan untuk menjual 3,750 unit Roomy dan Tank sebulan. Dihasilkan di kilang milik Daihatsu di Ikeda, kedua-dua model tersebut ditawarkan dalam lapan varian seperti X, XS, G, GS, G-T, Custom G, Custom G S dan Custom G-T.

Melihat kepada penampilan, varian-varian tersebut dibezakan menerusi gred custom dan empat rekaan wajahnya. Antara kelainan yang diketengahkan ialah reka bentuk lampu utama, gril dan kemasan krom.

Harganya pula bermula 1,463,400 yen (RM55,050) seunit untuk varian asas X hinggalah 2,008,800 yen (RM75,600) bagi varian Custom G S 4WD. Roomy dan Tank dijana oleh dua pilihan enjin iaitu 1KR-FE (1.0L) dan 1KR-VET (1.0L turbo) dengan pacuan roda hadapan atau empat roda (4WD).

Enjin tiga silinder turbo yang baru dibangunkan itu didakwa mampu menawarkan kuasa tork menyamai enjin berkuasa 1.5 liter (140Nm). Tahap penjimatan bahan api agak mengagumkan iaitu sekitar 24.6km/l untuk model pacuan roda hadapan, 22.0km/l bagi varian 4WD dan 21.8km/l (model turbo).

 

Tipikal sebuah minivan kompak Jepun, jentera tersebut dilengkapi pelbagai ciri menarik seperti pintu gelangsar elektrik pada kedua-dua belah sisi. Ia boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menekan satu butang sahaja.

Selain itu, konfigurasi tempat duduk membolehkan penumpang berjalan dari tempat duduk  hadapan ke belakang dengan mudah. Tempat duduk belakang boleh ditolak ke hadapan sebanyak 240mm, seterusnya memberi ruang lebih luas untuk mengangkut barang.

Ia juga oleh disandar hingga 70 darjah, menawarkan ruang untuk penumpang tidur dengan selesa. Apabila tempat duduk dilipat dengan betul, ia boleh memuatkan barang besar seperti sebuah basikal.

Bagi memenuhi keperluan penumpang, minivan ini menyediakan banyak ruang penyimpanan barang dan minuman. Satu paparan TFT berwarna bersaiz 4.2 inci pula memaparkan maklumat penting seperti amaran dan notifikasi penyelenggaraan.

Ciri Panoramic View memang berguna ketika hendak memarkir atau memasuki simpang. Empat unit kamera dipasang pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan untuk memaparkan imej keseluruhan. Ia juga menyediakan pandangan dari atas (bird view) kepada pemandu.  Dari segi keselamatan, Roomy dan Tank dipasang dengan sistem bantuan mengelak pelanggaran, Smart Assist II.

Penguna di Jepun juga ditawarkan dengan 14 pilihan warna luaran dan lima warna dua tona. Meriah betul!

GALERI

Google ads
Back to top button