Buletin

TOYOTA MAHU BINA LITAR SEPERTI NURBUGRING DI AICHI, JEPUN

Toyota dilapor mahu membina sebuah litar yang menyerupai litar lagenda di Jerman, Nürburgring.

Langkah itu diambil selepas mengambil kira beberapa faktor seperti penjimatan logistik untuk menguji kenderaan di Jerman. Selain mahu mengelak foto kereta-kereta baharu mereka daripada dirakam oleh papparazi.

Penggunaan litar sendiri di Jepun juga pasti dapat menjimatkan banyak masa, terutama jika kereta yang ingin diuji itu bukannya untuk pasaran Eropah.

Biarpun, kos untuk membina litar seperti Nürburgring yang sejauh 20.7km itu bukanlah murah. Apatah lagi ia melibatkan lokasi berbukit sedemikian. Sebab itulah litar baharu Toyota hanya sejauh 5.3km sahaja dan cuba untuk meniru sehampir mungkin beberapa selekoh terbaik di Nürburgring.

TOYOTA PRIUS GENERASI KEEMPAT

Sebenarnya, litar itu merupakan salah satu daripada sebelas kemudahan pusat penyelidikan dan pembangunan baharu Toyota di Aichi, di tengah pulau Honshu, Jepun. Ia melibatkan tanah seluas 650 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Pusat R&D yang dilapor menelan belanja hampir AS$3 bilion (RM12 bilion) itu digunakan untuk menghasilkan kenderaan elektrik untuk pasaran Amerika atau Eropah. Apabila siap nanti, seramai lebih 3,300 orang kakitangan akan bertugas di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, Toyota akan menggunakan litar ujian di Hokkaido untuk menguji kereta bagi pasaran negara-negara beriklim sejuk. 

Google ads
Back to top button