TOYOTA MENCARI PEMANDU RALI. MUNGKIN ANDALAH ORANGNYA
Toyota Gazoo Racing meneruskan misinya untuk mencari bakat rali baharu pada masa depan dengan melancarkan satu lagi proses pemilihan untuk TGR WRC Challenge Program tahun ini.
Ianya telah dimulakan bermula pada tahun 2015 ketika menjelang kembalinya Toyota ke FIA World Rally Championship (WRC). TGR WRC Challenge Program ini bertujuan untuk mengenal pasti dan memupuk pemandu muda Jepun yang berbakat serta berpotensi menjadi pesaing ke perlumbaan tertinggi WRC.
Salah seorang pemandu generasi pertama yang dipilih untuk program ini adalah Takamoto Katsuta yang kini merupakan pemandu utama pasukan Toyota Gazoo Racing sendiri serta merupakan pemenang podium WRC sebanyak lima kali.
Bakat generasi kedua terdiri daripada Hikaru Kogure dan Yuki Yamamoto telah menunjukkan kepantasan yang diperlukan setakat ini ketika musim sulung mereka beraksi di WRC2 tahun ini. Manakala pemandu yang baharu diambil Shotaro Goto dan Takumi Matsushita telah membuat penampilan sulung masing-masing di Ralli Pohjanmaa di Finland hujung minggu lalu.
Bersemangat untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak muda, Toyota sekali lagi akan mengadakan proses pemilihan pada 2024 untuk menambah generasi keempat pemandu ke TGR WRC Challenge Program ini.
Permohonan akan dibuka pada 1 Julai untuk pemandu berumur antara 14 dan 26 tahun. 100 pemohon pertama akan dijemput untuk menyertai ujian kelayakan di Fuji Speedway pada bulan Oktober, dengan lima individu daripada mereka dipilih untuk mengikuti kem latihan terakhir di Finland pada bulan Disember nanti.
Calon yang berjaya kemudiannya akan memulakan program latihan komprehensif pada Januari 2025, dan akan berpangkalan di Jyväskylä, Finland yang juga merupakan rumah kepada ibu pejabat pasukan Toyota Gazoo Racing sendiri. Di sana, mereka akan menerima bimbingan tentang pelbagai kemahiran, termasuk nota rentak, latihan fizikal dan mental, dan akan bersaing dalam rali terpilih menggunakan jentera Rally4.
Mikko Hirvonen pemenang perlumbaan rali 22 kali akan bertindak sebagai Ketua Pengajar TGR WRC Challenge Program untuk mencurahkan pengalaman dan ilmunya kepada lima pemuda Jepun terpilih. Untunglah kan.
BACA : PENGERUSI TOYOTA BAHARU TAHU BETAPA SIBUKNYA TUGASAN SEBAGAI PRINSIPAL PASUKAN TOYOTA GAZOO RACING