Buletin

TOYOTA PERKENAL LAND CRUISER GR SPORT EDISI RALLY RAID, HANYA 12 UNIT TERSEDIA

Toyota Auto Body, anak syarikat Toyota yang sinonim dengan pembangunan SUV dan kenderaan khas, memperkenalkan edisi paling ekstrem Land Cruiser GR Sport setakat ini.

Dikenali sebagai Rally Raid, ia dikeluarkan khas bagi meraikan kejayaan Team Land Cruiser yang menjuarai kategori kenderaan produksi di Dakar Rally buat kali ke-12 berturut-turut.

Berbanding sekadar menambah pelekat hiasan, edisi terhad ini menerima beberapa naik taraf yang menjadikannya lebih garang. Antaranya rim aloi Enkei PDT1 berukuran 18-inci dengan tayar all-terrain Toyo Open Country, angkup brek berwarna merah, tow hook, flap lumpur, serta grafik TLC pada badan kenderaan.

Bahagian mekanikal juga diberi perhatian. Rally Raid dipadankan dengan sistem suspensi baharu bersama cab mount yang lebih teguh, melangkaui spesifikasi GR Sport biasa.

Kabinnya pula menampilkan kerusi khas balutan kulit dan ultra suede, selain plak “Rally Raid” pada konsol tengah sebagai identiti eksklusif.

Menariknya, pakej aksesori yang sama boleh dibeli pemilik sedia ada Land Cruiser GR Sport, tetapi hanya untuk versi enjin diesel. Beberapa komponen juga bakal dijual secara berasingan di rangkaian pengedar Toyota di Jepun.

Tiada perubahan pada enjin – ia masih menggunakan unit V6 diesel 3.3 liter twin-turbo yang menjana 304hp dan 700Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan serta sistem pacuan 4WD lengkap dengan diferensial elektronik depan dan belakang.

Toyota hanya menghasilkan 12 unit Land Cruiser GR Sport Rally Raid, bersama 12 lagi pakej penukaran untuk pelanggan terpilih.

Harga sebuah unit ditetapkan pada ¥9,380,800 (kira-kira RM298,000), manakala pakej penuh berharga ¥1,511,400 (sekitar RM48,000).

Sebagai perbandingan, Land Cruiser 300 GR Sport biasa dijual dari ¥8,136,700 (lebih kurang RM258,000) di Jepun.

Bagi mendapatkannya, pembeli perlu menyertai sistem cabutan undi di pengedar Toyota antara 11 hingga 28 September. Senarai pemenang akan diumumkan selepas 17 Oktober, dengan penghantaran pertama dijangka bermula Disember ini.

Google ads
Back to top button