Buletin

TOYOTA SAH JUAL SUPRA DI AUSTRALIA, KITA?

Apabila Toyota berjanji mahu kembali menghasilkan kereta menyeronokkan, mereka benar-benar mengotakannya. Contoh pertama ialah apabila Toyota melancarkan FT86 dan kemudian melihat kembali bagaimana kereta umum mereka ditawarkan.

Hasilnya juga boleh dilihat apabila kereta keluaran Toyota kini tampil dengan seni reka yang lebih agresif dan menarik perhatian. Contoh terdekat ialah bagaimana MPV seperti Alphard dan Vellfire begitu menyerlah sekali sedangkan ia adalah untuk mengangkut keluarga atau klien bisnes.

Satu lagi produk yang bakal ditawarkan kepada peminat automotif ialah Supra generasi kelima. Ini kemunculan yang dinanti-nanti selepas Supra dikeluarkan buat kali terakhir pada tahun 2002.

Toyota kini sedang giat menghebahkannya walaupun Supra belum dilancarkan secara rasmi.

Terbaru Toyota mengumumkan Supra bakal dijual secara rasmi di Australia pada suku ketiga tahun 2019. Satu yang menarik tentang pengumuman ini ialah Supra memang ditawarkan secara rasmi di Australia pada tahun 1983 lagi.

Dalam masa sedekad penjualan Supra di sana sebanyak 2,895 unit telah terjual. Satu lagi perkara menarik ialah Supra bakal menjadi model pertama di bawah penjenamaan Toyota Gazoo Racing (TGR) di Australia.

GR adalah sub-jenama model-model Toyota yang membawa imej dan karakter berorientasikan prestasi dan juga bertanggungjawab dalam aktiviti sukan permotoran seperti perlumbaan endurans dan rali.

Berikut ialah beberapa fakta tentang Toyota Supra A90:

  • Dikuasakan oleh enjin 3.0 liter turbo dengan bentangan FR
  • Output kuasa 220kW/295hp dengan tork 450 Nm
  • Pecutan 0 – 100 km/j di bawah lima saat
  • Satu perkara ketara tentang A90 berbanding A80 ialah saiznya yang pendek dan sederhana
  • Ini kerana jarak roda (wheelbase) yang pendek dan ciri-ciri lain seperti jarak graviti rendah, ketegaran badan yang kukuh dan nisbah berat ideal 50-50 menyumbang kepada prestasi dan pengendalian yang cemerlang
  • Ukuran jarak roda itu sebenarnya lebih pendek daripada GT86 dan jarak gravitinya lebih rendah daripada model tersebut
  • Walaupun pendek tetapi treknya (jarak melintang roda ke roda) dan hasilnya ialah nisbah yang begitu baik iaitu 1.6:1 dan ia lebih bagus daripada kebanyakan kereta sport dua tempat duduk
  • Rangka kereta diperbuat daripada aluminium dan komposit besi dengan ketegaran badan hampir kepada Lexus LFA yang dihasilkan daripada gentian karbon
  • Ketua Jurutera, Tetsuya Tada mengatakan sasaran beliau adalah untuk menghasilkan sebuah kereta dengan karakter stereng yang tajam dan tumpuan kepada selekoh
  • Badan yang rendah dicapai melalui penggunaan suspensi adaptif dan reka bentuk semula transmisi lapan kelajuan automatik Supra
  • 90 peratus kerja pembangunan dibuat di jalan raya awam termasuk autobahn dan juga trek ujian popular seperti di Nürburgring Nordschleife, Jerman dan Miramas, Perancis
  • Satu fakta menarik ialah reka bentuk but barang dibuat semula selepas dipengaruhi oleh faktor pemanduan jarak jauh di Eropah dan Amerika Syarikat

Menjawab soalan kepada artikel ini tentang adakah peminat di Malaysia turut boleh membelinya? Jawapan selamat ialah jika tidak dijual secara rasmi, tunggu sahaja model yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.

BACA: INI 5 POIN TETSUYA TADA TENTANG TOYOTA SUPRA 2019

BACA: TOYOTA SUPRA V12 TOP SECRET AKAN DILELONG – SUPERCAR KILLER DENGAN KELAJUAN MAKSIMA 357 KM/J!

Google ads
Back to top button