Artikel Pilihan

JURUTERA VOLKSWAGEN NORWAY BINA KERUSI PEJABAT BERKUASA ELEKTRIK

Mungkin kerana bosan disebabkan duduk terperuk di dalam pejabat akibat musim sejuk yang melanda, sekumpulan jurutera Volkswagen di Norway berpakat membina kerusi pejabat mereka dengan motor elektrik dan bateri serta boleh bergerak sendiri.

Kerusi elektrik ini dinamakan sebagai “The Chair” mengambil pendekatakan berbeza berbanding kerusi pejabat yang lain yang lebih selesa. Jurutera Volkswagen memasang satu motor elektrik yang membenarkan pengguna memandu kerusi elektrik ini di dalam pejabat

Dengan menggunakan 4 roda bersaiz 4 inci, kerusi ini boleh dipandu pada kelajuan maksimum 19km/jam. Ya anda boleh bergegas masuk ke bilik mesyuarat tanpa perlu berlari dan berpeluh. Kami tiada data berkenaan dengan saiz bateri yang digunakan, tapi anda boleh memandu kerusi ini sejauh 7.9km untuk satu pengecasan penuh

Jarak ini sudah cukup untuk kegunaan pejabat, melainkan anda bercadang untuk memandu kerusi ini dari rumah ke pejabat anda setiap hari. Bagi tujuan keselamatan, kerusi ini dipasang dengan tali pinggang keselamatan bagi mengelakkan anda terjatuh sewaktu mengambil selekoh laju

Bagi memberi amaran kepada rakan sekerja anda, terdapat hon yang boleh digunakan untuk memberi amaran. Malah jurutera Volkswagen juga memasang lampu LED dan juga strip light pada kerusi ini. Ada juga lampu LED party light yang dipasang bagi tujuan berhibur sewaktu bos tiada di pejabat yang beroperasi dengan sistem audio

Antara ciri keselamatan lain termasuklah kamera undur dan juga sensor undur 360 darjah. Jika anda bercadang untuk membeli kerusi ini bagi kegunaan pejabat, maaf ia tiada dijual di pusat pameran Volkswagen buat masa sekarang.

Kerusi ini sebenarnya dibina bagi meraikan penglibatan Volkswagen secara serius dalam penjualan model kenderaan komersial berkuasa elektrik

Google ads
Back to top button