
TEMPOH MENUNGGU TOYOTA VELOZ SEHINGGA 18 BULAN, PENGEDAR HENTI TEMPAHAN
Sekiranya anda merancang untuk membeli Toyota Veloz, tempoh menunggu bagi model berkenaan adalah sekurang-kurangnya 18 bulan atau kira-kira sehingga Disember 2024.
Bahkan, pada masa ini beberapa pengedar telah berhenti menerima tempahan Toyota Veloz. Di sini kita dapat melihat bahawa kereta ini sangat popular di pasaran negara kita.
Walau bagaimanapun, tidak pelik ia menjadi pilihan ramai kerana pengganti Avanza atau digelar sebagai kembar Perodua Alza ini mempunyai prestasi mengagumkan selain menyerlah dari segi penampilan serta kelengkapan.

Tampil dengan rekaan tersendiri, Veloz dilengkapi gril besar berwarna hitam berkilat, sepasang lampu LED nipis bersama ciri Follow Me Home, lampu nyalaan siang (DRL) LED, roof rails yang mampu menampung beban sehingga 75kg dan rim dua tona bersaiz 17 inci serta dibalut tayar bersaiz 205/50 R17.
Ruang kabin pula membolehkan tujuh orang penumpang duduk dengan selesa. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat jika perlu mengangkut barang banyak atau bersaiz besar.
Papan pemuka dilengkapi skrin sentuh bersaiz sembilan inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ciri-ciri lain termasuklah Electric Parking Brake (EPB), pad pengecasan tanpa wayar Qi, tiga port USB dan skrin paparan multi-info LCD bersaiz tujuh inci.

Selain itu, pemandu boleh mengubah suai susun atur dan maklumat skrin LCD tersebut melalui empat paparan berbeza.
Untuk aspek keselamatan, Veloz dilengkapi Toyota Safety Sense, merangkumi ciri-ciri utama seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention dan Lane Keeping Control (LKC).
Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (2NR-VE), berupaya menjana 105hp pada 6,000rpm dan tork 138Nm pada 4,200rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang kompak dan menjimatkan bahan api.
Di pasaran Malaysia, Toyota Veloz dijual dengan tanda harga bermula RM95,000 seunit (tanpa insurans). – Automachi
- BACA: PESAING PERODUA ALZA DAN TOYOTA VELOZ, HYUNDAI STARGAZER MUNCUL DI MALAYSIA. HARGA LEBIH RM100K?
- BACA: TOYOTA VELOZ, BERBALOI KE TAMBAH RM 20,000 DARIPADA PERODUA ALZA AV?
- BACA: TOYOTA VELOZ RASMI DILANCARKAN. APPLE CARPLAY TANPA WAYAR, TOYOTA SAFETY SENSE, BERMULA RM95K
- BACA: WALAUPUN RM20K LEBIH MAHAL DARIPADA ALZA, TOYOTA VELOZ CATAT TEMPAHAN 5,200 UNIT