Buletin

TOYOTA VIOS GENERASI KE-3 DILANCARKAN – 3 VARIAN AT, BERMULA RM77,200 SEUNIT

Selepas dipertontonkan pada acara Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) November tahun lalu, UMW Toyota Motor selaku pengedar sah kenderaan Toyota di Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi Toyota Vios serba baru untuk pasaran tempatan.

Sejak model pertama dilancarkan pada Oktober 2003, UMW Toyota Motor telah menjual hampir setengah juta unit Vios. Sekali gus menjadikannya antara model sedan paling popular dalam segmen B.

“Selepas beberapa tahun, Vios nyata meletakkan satu standard tersendiri bagi kenderaan dalam segmen tersebut. Menerusi pengenalan Vios generasi ketiga ini, ia dilihat akan melakukan perkara sama sekali lagi,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

3 Varian AT

Vios generasi ketiga ini didatangkan dalam tiga varian iaitu 1.5J, 1.5E dan 1.5G. Berbeza dengan model sebelum ini, semua varian Vios hanya menggunakan transmisi automatik.

Vios 1.5J ditawarkan pada harga RM77,200 seunit, Vios 1.5E (RM81,200) dan Vios 1.5G berharga RM87,300.

Anda boleh memilih daripada lima warna menarik iaitu biru metalik, merah metalik, hitam, perak metalik dan putih.

Semua varian itu menggunakan khidmat enjin empat selinder DOHC dengan Dual-VVT-i berkuasa 107PS pada 6,000rpm dan tork 140Nm pada 4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT 7 kelajuan Sequential Shift.

Bagi Vios 1.5E, ia kini hadir dengan paddle shifters dan rim aloi 16-inci sebagai ciri standard. Varian paling lengkap (G) pula ditambah dengan meter Optitron berwarna dengan paparan pelbagai maklumat serta sistem infotainmen DVD-AVX bersama slot USB.

Apa yang paling menarik ialah ciri Panoramic View Monitor (PVM). Ia menawarkan pandangan kamera 360 darjah yang berfungsi secara automatik apabila gear undur diaktifkan.

Ciri-ciri standard lain termasuklah kemasan kulit, cermin pandang belakang electrochromic serta suis Drive Mode. Faktor keselamatan juga dipertingkat dengan pelbagai ciri seperti Blind Spot Monitor, Panoramic View Monitor, Front Digital Video Recorder dan Rear Cross Traffic Alert – ciri-ciri yang sebelum ini hanya ada pada model Toyota lebih besar.

ASEAN NCAP 5 Bintang

Vios tidak hanya menerima wajah baru. Malah melibatkan naik taraf dan penambahbaikan lain yang menjadikannya lebih seronok dan selamat dipandu.

Semua varian menerima penarafan maksimum ASEAN NCAP lima bintang. Ia dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan bantuan mula mendaki (HSA).

Perubahan paling ketara di bahagian kabin ialah papan pemuka dan panel instrumen yang diberi rekaan baru. Selain kemasan, kusyen tempat duduk baharu, bahagian konsol tengah, slot pengecas USB tambahan, lampu kabin untuk penumpang belakang, ruang barangan yang ditambah serta sistem kawalan pendingin hawa automatik untuk semua varian.

Pemanduannya juga lebih senyap kerana kadar gegaran kini lebih rendah kerana aspek penebat bunyi yang telah ditambah baik.

Dibuka untuk pandu uji di semua bilik pameran Toyota seluruh negara bermula hari ini, Vios didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Pemilik juga akan menikmati keahlian 24SEVEN Road Assist bagi tahun pertama.

Ini membolehkan pemilik menerima bantuan tepi jalan hanya dengan satu panggilan telefon sahaja, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button