Buletin

KILANG TOYOTA DI BUKIT RAJA MULAKAN OPERASI – VIOS JADI PRODUK PERTAMA

Sempena pelancaran Vios generasi baharu pada hari ini, sebenarnya ada satu lagi pencapaian penting yang dirakam oleh UMW Toyota Motor.

Harus tahu bahawa Vios serba baru ini menjadi model pertama yang dikilangkan di kemudahan baru bertempat di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, Selangor.

Merupakan satu daripada kilang Toyota yang paling moden di dunia, ia dibina selari dengan hala tuju pengilangan kenderaan baru berkecekapan tinggi oleh kerajaan Malaysia.

Dikendalikan oleh pihak Assembly Services Sdn. Bhd., kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun. Dengan keluasan mencecah 670,000 meter persegi, ia bertanggungjawab menghasilkan kenderaan penumpang cekap tenaga (EEV).   

“UMW Toyota Motor menjangkakan industri automotif di negara ini mempunyai potensi yang cukup besar pada masa hadapan. Justeru, syarikat telah melabur hampir RM2 bilion bagi membina kilang pemasangan berteknologi tinggi ini.

“Visi kami adalah agar kilang ini dapat mengeluarkan kenderaan-kenderaan cekap tenaga yang lebih maju. Sebagai usaha berterusan kamai untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan di masa hadapan,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Ini adalah masa depan pengeluaran Toyota di Malaysia kerana kilang ini mempunyai tahap operasi secara automatik yang tinggi bagi memastikan kualiti pengeluaran kenderaan menjadi lebih cekap.

Ramai jurutera dan juruteknik tempatan telah dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk mengendalikan operasi di kilang baru berkenaan.

Google ads
Back to top button