
TOYOTA VIOS SPORTS EDITION – MODEL KHAS SEMPENA TOYOTA GAZOO RACING
UMW Toyota Motor bakal menganjurkan perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge sebanyak empat pusingan di serata negara. Perlumbaan yang berlangsung di litar jalanan itu akan bermula pada bulan hadapan di Pulau Pinang.
Selepas beberapa bulan program yang julung kali diadakan itu diwar-warkan nampaknya minat terhadap model Vios semakin bertambah.
Susulan minat tersebut, UMW Toyota Motor akan memperkenalkan versi istimewa yang dipanggil Toyota Vios Sports Edition. Ia juga khusus untuk peminat Vios yang mahukan varian sporti tanpa mengeluarkan wang setinggi spesifikasi penuh.
Model ini mengambil inspirasi dari kereta lumba Vios TGR dengan penampilan luaran serupa tetapi sah untuk digunakan di jalan raya mahupun lebuh raya atau pulang beraya. Di antara kelengkapan pada Vios SE ialah aerokit yang terdiri daripada spoiler but, roda aloi berwarna hitam dan grafik badan sama seperti versi TGR.
Kit tambahan bukan pada luaran sahaja, badan kereta direndahkan sebanyak 27 mm susulan penggunaan suspensi sport. Dengan badan yang rendah, kereta lebih stabil dan olengan badan dikurangkan.
Bahagian dalaman pula menggunakan kerusi balutan fabrik bercorak khas manakala lantai kereta dialas karpet kaki dengan logo Sports edition.
BACA: TOYOTA VIOS CONVERT MANUAL
Peralatan lain dalam pakej ini ialah tombol gear, plat ambang pintu dengan iluminasi dan juga lampu pencahayaan pada ruang kaki depan. Istimewa untuk pemilik pula, UMW Toyota menawarkan hadiah percuma barangan Sports Edition iaitu t-shirt polo TGR dengan sulaman nama mereka selain botol air dan topi.
Toyota Vios Sports Edition ditawarkan pada harga RM 85,300 (tanpa insurans) dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan (bergantung kepada terma dan syarat).
BACA: TOYOTA VIOS CHALLENGE TERIMA SAMBUTAN HANGAT – TENGKU DJAN TURUT BERLUMBA!