Buletin

TOYOTA YARIS iA – INI MAZDA ATAU TOYOTA ATAU APA NI?

Toyota dan Mazda baru sahaja mengesahkan kerjasama dengan lebih mendalam beberapa minggu lepas. Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut dimeterai hanya selepas dua tahun kedua-dua syarikat itu membuat kajian dan perbincangan.

Dalam hebahan media yang diedarkan, terdapat satu perjanjian di mana Toyota akan menimbal balas model Mazda yang dijenamakan semula sebagai Toyota di Amerika Syarikat dengan sebuah MPV untuk pasaran Jepun.

Jika perjanjian di antara gergasi automotif dan syarikat kecil seperti Mazda boleh diibaratkan sebagai suatu yang janggal, model Mazda yang digunakan Toyota juga turut sama janggal.

Model dimaksudkan ialah Mazda2 Sedan yang dijenamakan semula sebagai Toyota Yaris iA. Atau sebelum itu sebagai Scion iA.

Tidak dapat dipastikan kenapa Toyota memerlukan Mazda model ini sedangkan mereka lebih dari mampu untuk membina sebuah sedan baharu atau ambil sahaja dari mana-mana syarikat sekutu seperti Perodua.

Mungkin juga kerana Mazda2 Sedan ini sememangnya sesuatu dan menepati standard yang dimahukan Toyota.

Dari luar, tidak banyak perubahan yang dilakukan kecuali bahagian depan dengan lampu baharu selain meneruskan gayaan Yaris hatchback dengan gril ternganga luas. Bahagian belakang sama sahaja cuma gayaan lampu sahaja yang berbeza.

Bahagian dalaman turut sama seperti luar, tiada apa yang diubah dan ia dibekalkan sistem multimedia tujuh inci dengan fungsi pengecaman suara. Untuk praktikaliti, kerusi belakang boleh dilipat dan dipisahkan dengan nisbah 60/40.

Toyota Yaris iA dikuasakan oleh enjin 1.5 liter sama seperti Mazda2 dengan output 106 hp. Ia dipadankan dengan dua pilihan transmisi iaitu enam kelajuan manual atau enam kelajuan automatik. Menariknya ia turut dibekalkan dengan mod Sport untuk gaya pemanduan lebih sporti.

Sistem keselamatan sedan kompak ini cemerlang dan ia dibuktikan melalui pengikitirafan IIHS Top Safety Pick+ yang bukan calang-calang model memperolehinya. Yaris iA tidak sahaja dilengkapi pelbagai teknologi aktif tetapi struktur badan itu sendiri kukuh yang dibina oleh pengeluar asalnya.

Namun ia tetap dipasangkan teknologi canggih seperti sistem pengesanan kemalangan yang menggunakan laser bagi membantu pemandu mengelak kemalangan atau mengurangkan kesan kerosakan jika terlibat dalam situasi tidak diundang tersebut.

Kelengkapan standard lain ialah kamera undur dan brake override system yang berfungsi apabila sistem mengesan brek dan pedal minyak ditekan serentak dengan keutamaan diberikan kepada brek supaya kereta dapat dihentikan.

Toyota Yaris iA ditawarkan dalam enam warna iaitu Stealth, Abyss, Graphite, Pulse, Sapphire, Chromium dan Frost. Ia dipasarkan dari harga permulaan USD 16,845 atau bersamaan RM 72,320.39.

Di AS, Yaris iA bersaing dengan Honda Fit (Jazz), Ford Fiesta, Chevrolet Sonic, Kia Rio, Hyundai Accent, Nissan Versa dan Yaris Hatchback sendiri.

Bagaimana pula dengan Mazda2 dan Mazda2 Sedan? Kedua-dua model itu tidak lagi ditawarkan di Amerika Syarikat.

BACA: TOYOTA DAN MAZDA BENTUK PAKATAN BISNES BERSAMA!

BACA: DAIHATSU ALTIS – UNTUK JEPUN SAHAJA, JANGAN KELIRU DENGAN TOYOTA COROLLA ALTIS PULA 

Google ads
Back to top button