Buletin

TOYOTA DAN MAZDA BENTUK PAKATAN BISNES BERSAMA!

Dalam satu lagi perkembangan automotif dunia, Toyota Motor Corporation dan Mazda Motor Corporation telah menanda tangan satu perjanjian kerjasama bagi membentuk usaha sama bisnes dan modal pada 4 Ogos lalu.

Perjanjian yang dimeterai ialah hasil daripada kolaborasi dan perbincangan selama dua tahun di antara kedua-dua syarikat itu. Menarik tentang kerjasama ini, ia begitu menghormati apa yang dimiliki oleh syarikat masing-masing tanpa penguasaan majoriti. Umum mengetahui, TMC berada dalam liga ketiga teratas pengeluar kenderaan terbesar dunia.

Di bawah ialah bentuk kerjasama yang dimeterai:

1. Kerjasama bagi menghasilkan kenderaan di Amerika Syarikat

Toyota dan Mazda akan membina kilang pengeluaran dengan kapasiti sekitar 300,000 kenderaan setahun dengan sasaran operasi pada 2021.

Anggaran pelaburan ialah AS 1.6 bilion dengan peluang pekerjaan sehingga 4,000 orang.

Mazda mensasarkan untuk mengeluarkan model crossover yang akan diperkenalkan di Amerika Utara manakala Toyota pula merancang untuk mengeluarkan Corolla untuk pasaran sama.

2. Bersama membangunkan teknologi untuk kenderaan elektrik (EV)

Toyota dan Mazda akan bekerjasama bagi meneroka teknologi dalam bidang ini termasuk pertukaran dan pemindahan kepakaran di antara kedua-dua syarikat secara bebas dan aktif. Teknologi tersebut akan membolehkan syarikat bertindak balas dengan pantas terhadap peraturan dan trend pasaran di negara berbeza.

3. Bersama membangunkan teknologi sambungan kereta (connected car)

Kedua-dua syarikat akan bekerjasama bagi membangunkan teknologi infotainmen multimedia sebagai persedian perubahan trend teknologi masa kini dan juga permintaan pasaran terhadap teknologi sambungan.

4. Bekerjasama dalam bidang teknologi keselamatan termaju

Toyota akan bekerjasama dengan Mazda dalam teknologi kenderaan ke kenderaan (V2V) dan kenderaan ke infrastruktur (V2I) Toyota dengan matlamat utama mewujudkan pengguna mudah alih tanpa kemalangan.

5. Menambah lagi pertukaran produk di antara kedua-dua syarikat

Toyota Yaris iA – Diasaskan dari Mazda2 Sedan

Sekarang ini, Mazda membekalkan Mazda2 Sedan yang dijenamakan sebagai Toyota Yaris iA untuk pasaran Amerika Utara. Sebagai pertukaran, Toyota akan membekalkan van kompak komersial kepada Mazda untuk pasaran Jepun. Kedua-dua syarikat akan membuat kajian untuk model-model lain di peringkat global.

BACA: PAKATAN RENAULT-NISSAN KINI PENGELUAR KENDERAAN TERBESAR DI DUNIA

Pertukaran saham

Selain itu, TMC dan Mazda juga bersetuju untuk bersama-sama berkongsi modal dalam memelihara kebebasan dan dan kesamaan di antara kedua-dua syarikat. Toyota masih kekal Toyota dan begitu juga dengan Mazda.

Secara ringkasnya, terdapat pertukaran saham di antara kedua-dua syarikat di mana hasil dari jualan itu akan digunakan untuk projek kerjasama bagi menghasilkan kenderaan di AS.

Toyota akan membeli sekitar 32 juta saham baharu Mazda yang dianggarkan bernilai GBP 345 bilion (RM 1.9 bilion) manakala Mazda pula akan membeli stok saham perbendaharaan Toyota dengan nilai sama.

Kedua-dua syarikat akan mempertimbangkan untuk mengukuhkan lagi perkongsian modal berdasarkan perkembangan pakatan bisnes mereka.

Google ads
Back to top button