Buletin

TRAK PIKAP MEWAH FORD SUPER DUTY LIMITED – BERMULA RM367,870!

Bagi mereka yang sedang mencari trak pikap F-Series dan mahukan kemewahan yang biasanya ada pada limosin, Ford nampaknya dapat memenuhi hasrat tersebut.

Disifatkan sebagai varian teratas dalam siri trak pikap F-Series, Super Duty Limited dilengkapi dengan teknologi dan ciri keselesaan terbaik.

Rangkaian model F-450 Limited bermula pada harga AS$87,100 (RM367,870) seunit sehingga lebih AS$100,000 (RM422,350). Bergantung kepada ciri yang dipilih dan selepas ditambah dengan cukai serta yuran berkaitan.   

Mungkin ramai yang bertanya, apa gunanya membeli trak pada harga begitu mahal. Menurut Ford, lebih 50 peratus jualan model Super Duty pada tahun ini melibatkan varian yang mahal seperti Lariat, King Ranch da Platinum Series. Jadi, permintaan terhadap trak pikap yang lebih mewah memang ada.

F-450 Super Duty Limited hadir bersama ciri seperti tempat duduk dibalut kulit unta dua tona, stereng kulit, perehat tangan dan panel dengan jahitan premium, pelapik bumbung suede, kemasan kayu berwarna gelap serta emblem khas.

Nombor siri yang diukir menggunakan lazer pula diletakkan pada perehat tangan. Selain itu, trak pikap tersebut dipasang dengan pelbagai teknologi terkini seperti kamera 360 darjah berdefinisi tinggi, BLIS, kawalan jelajah adaptif dan banyak lagi.

Pada bahagian luaran, ia menyerlah menerusi gril satin bar berkembar dan kemasan krom, lampu utama LED quad-beam serta lampu belakang dengan rekaan istimewa. 

Biarpun tampil mewah, jentera itu masih memiliki keupayaan menunda sehingga 13.6 tan! Ini kerana ia dijana oleh enjin diesel Powerstroke V8 bersesaran 6.7 liter. Trak-trak siri Super Duty Limited dijangka berada di pasaran Amerika Syarikat bermula musim sejuk nanti.

BACA: TAK DAPAT WILDTRAK, FORD RANGER 2.2L FX4 PUN OK

GALERI 

Google ads
Back to top button