
HYUNDAI BAKAL LABUR RM130 BILION UNTUK ELEKTRIFIKASI
Hyundai Motor sedia meningkatkan purata pelaburan tahunan dalam elektrifikasi bagi memastikan jenama itu mampu bersaing dengan pengeluar kenderaan elektrik dari China.
Menurut laporan, Hyundai bakal melabur sebanyak AS$28 bilion (RM130 bilion) dalam dekad akan datang termasuk menyasarkan jualan EV kepada dua juta unit menjelang 2030.
Untuk memenuhi sasaran, Hyundai merancang untuk meningkatkan pengeluaran EV tempatan di tiga pasaran utamanya iaitu Amerika Syarikat, Eropah dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor, Jaehoon Chang berkata pembuat kereta itu sedang mempertimbangkan untuk menjadikan kenderaannya lebih mudah serasi dengan standard pengecasan Tesla.
Dalam perkembangan berkaitan, Hyundai juga merangka strategi bagi pasaran China kerana sedang bergelut untuk mengaut keuntungan.
Chang memberitahu pelabur bahawa China, pasaran kenderaan terbesar di dunia, sangat menguntungkan sehingga 2016 tetapi kini Hyundai kehilangan bahagian kepada saingan domestik.
Tambahnya, barisan produknya di China juga dikurangkan kepada lapan berbanding 13 sebelum ini untuk memfokuskan pada model mewah termasuk jenama Genesis.
Untuk meningkatkan daya saingnya dalam bateri dan membangunkan bateri generasi akan datang, Hyundai membuat pelaburan sebanyak AS$7.4 bilion (RM34.4 bilion) dalam tempoh 10 tahun.
Hyundai berkata ia mahu memperkenalkan bateri litium-besi-fosfat (LFP) yang kompetitif serta lebih murah berbanding bateri ion litium seperti digunakan oleh EV di China.