;
Artikel Pilihan

TRANSMISI 8 KELAJUAN HYUNDAI/KIA. CANGGIH? BENAR TUAN TUAN!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang inovasi teknologi dari negara Korea Selatan iaitu sistem transmisi automatik pacuan hadapan 8-kelajuan dari pihak Hyundai/KIA.

Sebenarnya teknologi ini diperkenalkan pada tahun 2016, namun ia mula masuk ke pasaran Malaysia bermula tahun 2018. Sistem sebegini rupa sebenarnya telah bermula seawal tahun 2013 dan diperkenalkan oleh pihak pembuat sistem transmisi dari Jepun iaitu Aisin.

Untuk pengetahuan, tidak banyak pengeluar jentera yang mampu untuk menghasilkan sistem transmisi mereka sendiri. Apatah lagi dengan teknologi 8-kelajuan pacuan hadapan seperti ini.

Kebanyakan pengeluar kenderaan ternama pun hanya mengambil model dari pihak ketiga seperti Aisin, ZF dan GM. Sebagai contoh, berikut merupakan jentera yang menggunakan sistem 8-kelajuan daripada Aisin :-

  • BMW F45 2-Series
  • BMW F48 X1
  • BMW F39 X2
  • Mini Clubman F54
  • Mini Countryman F60
  • Peugeot 5008
  • Peugeot 308
  • Barisan model Volvo bermula tahun 2014.

Ada banyak lagi sebenarnya, termasuklah dari jenama Toyota dan Volkswagen. Namun, ianya untuk pasaran US dan saya tidak sertakan disini.

Jadi, apa yang saya cuba sampaikan, pihak Hyundai/KIA mengambil langkah yang sangat berani apabila mereka cuba untuk menghasilkan sistem transmisi mereka sendiri.

Kalau diikutkan kapasiti syarikat serta pengeluaran, siapa lah mereka ini kalau hendak dibandingkan dengan pengeluar-pengeluar utama mereka. Tapi mereka BERANI ! Syabas diucapkan.

Baiklah, kita pergi ke ciri-ciri kotak gear ini pula. Antara cabaran ketika pembangunan kotak gear ini adalah ruang. Umum mengetahui bahawa ruang enjin untuk kereta pacuan hadapan adalah terhad.

Dan ruang yang ada pula dikongsi bersama dengan enjin. Oleh itu, pihak Hyundai/KIA mempatenkan 143 komponen serta teknologi baharu untuk membolehkan kotak gear ini dicipta serta direalisasikan.

Lebih gear, lebih komponen. Ini sudah semestinya. Disinilah kecerdikan manusia diuji. Pihak jurutera Hyundai/KIA mereka semula unit pam minyak yang hendak digunakan pada kotak gear ini. Hasilnya, kotak gear ini menggunakan pam minyak yang terkecil sekali di dalam kelasnya. Kecil tapi efisyen.

Unit klac yang ditambah bagi menyokong penambahan gear ini menjadikan nisbah diantara gear tinggi dan gear rendah meningkat sebanyak 34% berbanding dengan kotak gear 6-kelajuan sebelumnya. Sekaligus menjanjikan penjimatan bahan api, pecutan yang lebih cepat dan juga memperbaiki kualiti NVH.

Jika unit klac ditambah, Untuk bahagian ini pula terdapat pengurangan komponen. Unit “Valve Body” direka semula bagi membolehkan unit “Solenoid Valve” mengawal tekanan hidraulik kepada unit klac secara terus.

Sistem ini dikenali sebagai “Direct Control Valve”. Sistem kotak gear automatik biasa menggunakan sistem “Inderect Control Valve System” dimana unit “Solenoid Valve bertindak memberikan tekanan kepada unit “Control Valve” dan seterusnya ke klac.

Dengan pengenalan sistem “Direct Control Valve” ini, ianya membolehkan pihak Hyundai/KIA menggunakan hanya 12 unit “Control Valve” sahaja berbanding 20 unit pada kotak gear 6-kelajuan sebelum ini. Bukan itu sahaja, sistem ini membolehkan penukaran gear berlaku dengan lebih pantas.

Antara ciri-ciri menarik pula adalah kotak gear ini boleh dikawal secara manual oleh pemandu. Baru best main “paddle shift”. Kalau malas, letak dekat “D”, tekan je minyak. Kalau agak-agak rajin, tolak tuil gear ke kanan, rasai kenikmatannya. Hahaha.

Dengan segala ciri-ciri diatas, agak mengejutkan kerana kotak gear ini adalah lebih ringan 3.5kg berbanding kotak gear 6-kelajuan sebelumnya dan saiznya seakan sama. Jadi, tiada masalah ruang lagi bagi kotak gear ini. Malah lebih efisyen jika diambil kira faktor berat.

Kapasiti daya kilas yang dapat ditahan dan disalurkan oleh kotak gear ini adalah pada kadar 460Nm. Nisbah gear pula adalah seperti berikut :-

  • Gear 1 – 4.808
  • Gear 2 – 2.901
  • Gear 3 – 1.864
  • Gear 4 – 1.424
  • Gear 5 – 1.219
  • Gear 6 – 1.00
  • Gear 7 – 0.799
  • Gear 8 – 0.648
  • Gear Gostan – 3.425
  • Final Ratio – 3.171

Dimana anda boleh dapat teknologi ini ? Anda boleh pergi ke pusat jualan Hyundai atau KIA dan mohon untuk pandu uji kenderaan berikut.

  • Hyundai Santa Fe 2.2 CRDi
  • KIA Sportage GT Line 2.0 CRDi
  • KIA Sorento 2.2 CRDi
  • KIA Grand Carnival 2.2 CRDi

Jentera-jentera diatas semuanya menggunakan enjin dari kategori “Diesel R-Engine” hasil usahasama Hyundai/KIA. Selepas cuba, anda boleh bandingkan dengan model-model jenama lain dari segi prestasi enjin dan kelancaran jentera-jentera tersebut menukar gear.

Sebenarnya, saya agak kagum dengan peningkatan syarikat daripada Korea Selatan ini. Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil revolusi industri automotif akan berganjak dari Jepun ke Korea Selatan. Tidak lupa juga dengan China.

Didalam perlumbaan teknologi, siapa lambat dia kalah. Siapa berani berevolusi dia akan menang. Jadikan kisah Kodak dan Nokia sebagai pengajaran.

Oh ya, mungkin ada yang berkata Toyota pun buat sistem kotak gear sendiri, kenapa tidak disebutkan ? Saya dah sebut dah. Aisin nama diberi. Aisin atau nama penuhnya Aisin Seiki Corporation adalah anak syarikat Toyota Group.

Akhir kalam, jauh di lubuk hati ini masih mengharap sesuatu dapat dilakukan Proton untuk bersaing dalam perlumbaan teknologi automotif semasa. Tiada yang mustahil.

Google ads
Back to top button