Motosikal

TUNGGANG UJI – VERSATILITI KAWASAKI VERSYS  

Kita boleh lihat keperluan terhadap motosikal berkuasa tinggi untuk kegunaan urban semakin meningkat setiap tahun.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (7)

Terima kasih kepada Kawasaki Malaysia yang telah membuka jalan bagi segmentasi pasaran motosikal harian versi naked dan touring. Ia nyata mengubah lanskap motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Kalau dahulu kita bermasam muka dengan harga motosikal CBU, segalanya berubah apabila Kawasaki dengan berani melancarkan versi CKD dari kilang mereka di Thailand menerusi model pertama ER6 seterusnya Versys 650.

Itu cerita hampir 10 tahun lepas. Sejak dekad penting itu juga pasaran motosikal berkuasa tinggi semakin kompetitif. Ramai orang percaya, tanpa ER6 CKD, kita tak akan lihat Honda CB500, CB650, NC700, Yamaha MT-07, MT-07, Suzuki Gladius atau V-Storm masuk ke pasaran tempatan.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (14)

Masa saya berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi, harga mampu milik terhad pada KLE650 atau Aprilia Pegaso. Paling kejam masa itu harga Honda CB400 dekat RM60,000!

Kawasaki Versys sudah masuk ke generasi kedua. Model 2015 boleh nampak perubahan yang ketara terutama pada reka bentuk lampu depan di dalam cowling yang baru ini direka dengan sporty, macam rupa predator.

Model sebelum ini lampunya tirus, bentuk kacang. Namun begitu, fungsi dan kebolehgunaan Versys tetap kekal sebagai touring yang versatil.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (12)

Ini juga motosikal paling lama pernah saya pinjam untuk diuji. Sebulan lebih lamanya. Dalam keadaan yang sibuk dengan bermacam urusan seharian, Versys telah mengubah persepsi saya terhadap motosikal touring.

Sebenarnya, ia berkonsepkan Dual Purpose, tetapi bilangan yang menunggang untuk offroad adalah sangat kecil. Malah tayar yang Battlax dipasang juga berspesifikasi touring.

Enjin empat lejang 649cc, dua selinder ini telah diperkemaskan daripada versi terdahulu dengan cagak getah enjin baru, sekali gus mengurangkan gegaran. Antara kelemahan touring tinggi begini ialah getaran yang ketara pada kelajuan melebihi 160km/j. Namun pembaharuan yang dibuat ini sangat signifikan.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (11)

Posisi perehat kaki direndahkan 15mm ke bawah dan dianjak 20mm ke depan. Dengan bar hendal lebar, pelana 4mm lebih rendah dari model sebelumnya menjadikan tunggangan Versys ini sangat selesa.

Cuma anda perlukan masa memahirkan diri keluar-masuk parkir dan mencelah kerana gabungan ketinggian gantungan 41mm di depan mungkin sedikit menyukarkan mereka yang berketinggian sederhana.

Tinggi saya 176cm, jadi tak ada masalah. Jika anda mengharapkan ia mudah dikendali macam naked ER6, itu tidak mungkin kerana semua sifat touring hampir sama. Tinggi, posisi tunggangan menegak dan kelegaan tanah yang luas.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (10)

Model 2015 turut diperbaharui dengan kotak udara terkini. Saluran kemasukan direka pada bahagian ‘dagu’ dan boleh dengar bila pendikit berkembar menyedut udara masuk, garang!

Tangki bahan api pula ditingkatkan dengan kapasiti 21 liter, lebih dua liter berbanding model sebelumnya. Patutlah saya tunggang sampai hujung dunia tapi minyak masih belum habis! Terima kasih juga mod ECO yang memberitahu bila masa nak berjimat dan bila masanya boleh merempit!

Antara pembaharuan lain yang dilakukan pada model ini ialah brek depan Nissin menggantikan Tokico. Selain suspensi belakang boleh laras dan yang telah dipertingkatkan yang rasanya lebih ‘firm’ berbanding model lama.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (9)

Kalau biasa bawa penumpang belakang, model baru Versys rasa lebih keras, tak berayun-ayun macam yang lama. Saya berpeluang membawa penumpang gemuk seberat 90kg dari KL ke KLIA2 dan beban olengan belakang berkurang dengan ketara.

Penghadang angin depan kini lebih lebar dan tinggi. Sangat berguna di Malaysia bila ikut belakang lori yang sering kali menjadikan jalan raya kepunyaan bapa mereka. Ia menghalang pasir terbang, habuk dan titis hujan terkena ke visor atau muka kalau pakai helmet open face. Berita baik lagi, penghadang angin ni boleh dilaras tinggi rendah sebanyak 2.5 inci.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (6)

Pakej baru pada model 2015 sekali lagi meletakkan Versys di landasan yang betul. Sebelum kehadiran pesaingnya, Versys (dan ER6N) berjoli sakan dengan pasaran motosikal berharga RM30,000 hingga RM40K yang mampu milik.

Saya rasa masa itu mungkin Yamaha, Honda, Suzuki fikir orang tak beli motosikal lingkungan harga ini sebab dah masuk range harga Myvi dan Saga. Tetapi Kawasaki Malaysia telah buktikan sebaliknya.

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (2)

Untuk touring dua selinder 650cc pada harga RM41,000 saya tidak teragak-agak memilih Versys sebagai motosikal harian dan santai hujung minggu ke Patin Temerloh. Malah tak jadi masalah kalau nak ikut geng superbike sekali pun.

Dalam segmen ini ada pilihan yang lebih kecil Honda CB500 (RM31,000), Honda NC700X (RM60,000) atau nak yang CBU Jepun Suzuki V-Storm 650 V-Twin (RM43,000) atau BMW F800GS (RM64,000) seunit.

Jadi kenapa Versys?

Kawasaki-versys-test-ride-mekanika (15)

Beli motosikal berkuasa tinggi ni bukan macam beli Perodua Viva. Kira betul-betul kos pemilikan dan penyelenggaraan supaya anda sedar pusing kot mana pun, Kawasaki senang dapat alat ganti dan harganya masih dalam kategori murah.

Kalau dah tunggang setiap hari sudah pasti peralatan wear & tear lebih kerap perlu diganti. Jenama popular dengan motor yang beribu-ribu unit di atas jalan macam Kawasaki pomen bawah pokok pun boleh baiki. Orang putih kata reliable. Macam Myvi, macam Vios.

Google ads
Back to top button